Halaman

28 July 2013

30 pemilik beca terima sumbangan Tesdec

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Seramai 30 pemilik beca roda tiga sekitar Bandaraya Kuala Terengganu menerima kanvas dan saguhati sebanyak RM200 yang disumbangkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis berkata, sumbangan tersebut sebagai memenuhi tanggungjawab sosial institusi terbabit dalam meringankan beban golongan kurang berkemampuan sempena bulan mulia ini.

"Sumbangan tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka menyediakan keperluan raya untuk keluarga masing-masing.

"Manakala, pemberian kanvas pula diharap dapat memperkasakan nama Kolej Tesdec kepada masyarakat setempat serta pengunjung luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kanvas dan saguhati kepada pemilik beca roda tiga sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, di Dataran Pantai Batu Burok, baru-baru ini.

Abdullah Mohamad
Katanya, melalui pemakaian kanvas ini memudahkan masyarakat setempat dan pengunjung luar mendapatkan maklumat berkaitan Tesdec melalui nombor telefon serta alamat portal rasmi Kolej Tesdec yang tertera pada kanvas tersebut.

Pengayuh beca, Abdullah Mohamad, 57, berkata, beliau sangat gembira dengan pemberian saguhati tersebut kerana dapat digunakan untuk membeli keperluan raya anak-anaknya.
Sidek Jusoh

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Tesdec atas pemberian sumbangan ini dan saya akan gunakan wang berkenaan sebaik mungkin untuk kepentingan anak-anak,” ujarnya yang merupakan bapa kepada empat orang anak.

Sementara itu, seorang warga emas yang masih gigih mengayuh beca untuk mencari sesuap nasi, Sidek Jusoh, 89, berkata, sumbangan tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan seharian sepanjang Ramadan ini.

"Pendapatan sebagai pengayuh beca memang tidak menentu, justeru saya bersyukur dengan pemberian ini kerana dapat digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa,” ujarnya.