Halaman

01 August 2013

Pelbagai pengisian menarik sempena BBK 2013


Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka bakal mengadakan majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 peringkat Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam pada 9 Oktober depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka akan merasmikan majlis pelancaran BBK yang merupakan salah satu acara tahunan negara bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, pihaknya menyasarkan 50 peratus peserta terdiri daripada belia dan pelajar institusi pengajian tinggi akan menyertai program tersebut.

"Bersandarkan pendekatan merakyatkan bahasa dan sastera kebangsaan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum, program berkenaan turut melibatkan kakitangan perkhidmatan awam, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),serta masyarakat bukan Melayu.

"Selain mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan, program tersebut bertujuan menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara," ujarnya.

Sempena sambutan BBK yang bertemakan ‘Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita’ pelbagai program akan diadakan seperti kembara bahasa, pameran, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, pementasan teater, sayembara deklamasi puisi dan menulis cerpen serta pelbagai lagi acara menarik yang lain.