Peniaga dan pemborong ayam di negeri ini mula mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram semasa skim kawalan harga musim perayaan tahun ini.
Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang dan sekitar mendapati rata-rata peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu, dianggap masih tinggi pengguna, manakala peniaga dan pemborong ayam pula melihat penetapan tersebut merugikan
Penetapan harga ayam kepada RM7.70 itu turun sebanyak 70 sen daripada harga purata runcit sebelum ini sekitar RM8.50 dilaksanakan selama 17 hari bermula 26 Julai lalu sehingga 11 Ogos atau hari raya ketiga.
Seorang peniaga dan pemborong, Rafiah Ismail, 44, berkata, ayam kini di jual mengikut harga siling yang ditetapkan KPDNKK dengan RM7.70 kg, manakala harga borong pula adalah RM7.
“Harga yang ditetapkan kerajaan sedikit merugikan kami, tetapi tetap akur dengan keputusan tersebut. Sebab harga ayam hidup masih pada kadar harga yang sama sebelum ini, iaitu RM5.40 kg.
“Sekiranya, harga ayam hidup diturun juga, ia mungkin sedikit berbaloi sebab dengan kadar baru itu adakalanya tidak dapat membayar gaji pekerja,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Encik Shaharizan Rosli, 33 berkata, meskipun harga yang ditetapkan itu merugikan para peniaga namun perlu akur dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menyelasaikan isu harga ayam.
“Para peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu tidak memberi keuntungan kepada kami. Pengguna juga telah sedia maklumkan berhubung harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Katanya, pihak KPDNKK juga sering turun padang membuat pemeriksaan, dan adalah mustahil arahan tersebut tidak dipatuhi oleh para peniaga.