Halaman

02 August 2013

Penggunaan elektrik meningkat 10 peratus menjelang hari raya

Oleh; Esah Abdullah 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri menjangkakan penggunaan bekalan elektrik pada musim perayaan tahun ini meningkat antara lima hingga 10 peratus di negeri ini.

Pengurus Besar negeri, Ir Md Yuslan Md Yusof berkata, peningkatan itu berlaku kerana banyak aktiviti seperti menjahit dan memasak dilakukan oleh pengguna.

Katanya, berikutan itu persediaan awal telah dilakukan oleh TNB termasuk membabitkan kerja menaik taraf peralatan di pencawang dengan meningkatkan voltan fius, kabel dan beberapa peralatan lain.

“Kawasan yang dikenalpasti pada tahun lepas berlaku gangguan telah dilaksanakan penyelenggaraan lebih awal pada sistem bekalan agar tidak berlaku lagi pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, ini untuk memastikan pengguna dapat menyambut kemeriahan hari raya tanpa ada gangguan yang berpanjangan. Tambahnya, TNB juga mempunyai pasukan bersedia untuk bertugas terhadap sesuatu kerosakan dan aduan yang diterima pada musim perayaan.

“Persediaan rapi dibuat kerana pengguna bekalan elektrik pada setiap musim perayaan akan meningkat dan sekaligus dapat mengurangkan gangguan bekalan.

“Kira-kira 500 petugas akan bertugas secara bergilir-gilir pada musim perayaan untuk memastikan masalah gangguan dapat dibaiki dengan segera,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media di Primula Hotel semalam.

Sementara itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan penyambungan pendawaian dan pendawaian baharu tanpa nasihat atau khidmat syarikat yang diiktiraf TNB bagi mengelakan kejadian litar pintas.

Selain itu katanya, pengguna yang akan pulang ke kampung untuk berhari raya diingatkan supaya mematikan semua suis utama untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.