Halaman

28 July 2013

JHEAT diminta pantau aktiviti masjid dan surau

Oleh: Suriati Ali 

 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) diminta bersikap tegas dan memantau pengurusan setiap masjid dan surau, terutama yang dibina di negeri ini, bagi mengelak berlakunya aktiviti bersifat menghasut dan berunsur politik.

 Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pendekatan itu cukup penting bagi mengelak perpecahan di kalangan umat Islam.

"Kerajaan mahu segala pembinaan baru surau dirujuk JHEAT terlebih dahulu supaya pemantauan boleh
dibuat dengan lebih mudah.

"Surau dan masjid perlu wujud berasaskan keperluan, jika kawasan itu sudah mempunyai masjid serta surau, ia tidak perlu lagi membina kemudahan yang sama"katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengimarahan Masjid dan Surau Daerah Kuala Terengganu di Pejabatan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Ahmad Razif turut memberitahu, dia berharap JHEAT membuat pemantauan sekerap mungkin kerana percaya ada beberapa masjid dan surau di negeri ini, mengadakan ceramah, tazkirah dan kuliah berunsurkan politik dengan menjemput penceramah yang tidak bertauliah.

Pengubahsuaian masjid dan surau juga perlu dibuat selepas dirujuk oleh JHEAT dan agensi yang bertauliah. 

"Ada beberapa masjid dan surau yang diubahsuai tidak mendapat rujukan daripada JHEAT dan agensi yang bertauliah.

Hal ini membimbangkan kerajaan terutama daripada segi keselamatan pengguna di masjid berkenaan. “Kita tidak mahu apabila berlaku sesuatu perkara seperti surau atau masjid runtuh kerajaan juga yang akan dipersalahkan," katanya.