Halaman

29 July 2013

TATiUC turun padang rai anak yatim DUN Batu Rakit

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Seramai 60 anak yatim yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit tersenyum gembira apabila berpeluang berbuka puasa di pusat peranginan terkenal serta menerima duit raya yang pertama sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
YB Haji Bazlan Abd Rahman bersalaman dan memberi duit raya kepada salah seorang anak yatim

YB Haji Bazlan Abd Rahman bergambar kenangan bersama anak-anak yatim

Golongan itu diraikan sempena Majlis Berbuka Puasa TATiUC dengan Masyarakat dan Anak-Anak Yatim DUN Batu Rakit Bersama YB Haji Bazlan Abd Rahman, di Sutra Beach Resort, Setiu, petang semalam.

Sebelum berbuka puasa, YB Haji Bazlan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC menyampaikan sumbangan duit raya dan cenderahati kepada semua anak yatim serta Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang menyertai acara itu.
Mohamad Muzamil Zulkifli

Seorang anak yatim, Mohamad Muzamil Zulkifli, 9, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besi, berkata dia gembira apabila dimaklumkan akan berbuka puasa di resort berkenaan memandangkan sebelum ini hanya mampu berbuka puasa ala kadar bersama keluarga di rumah, di Kampung Pengkalan Atap.

 “Seronok sebab dapat makan di hotel macam ini. Lagipun, hari ini dapat duit raya dan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan membeli keperluan saya serba-sedikit,” katanya.
Mohd Firdaus Mansor

Rakannya, Mohd Firdaus Mansor, 11, juga dari SK Pagar Besi, berkata dia dan kakaknya, Nursyafiqa, 16, dari Sekolah Menengah Batu Rakit amat gembira apabila terpilih bersama anak yatim yang lain berbuka puasa di luar.

 “Terima kasih kepada semua yang prihatin. Kami sangat gembira dan duit raya yang diterima tadi akan dibelanjakan untuk membeli pakaian baru sempena hari raya nanti,” katanya.

Nursyafiqa Mansor
Nursyafiqa turut teruja dan seronok kerana ada pihak yang prihatin dan sudi menghulurkan bantuan kepada golongan anak yatim seperti mereka yang serba kekurangan.

 “Alhamdulillah, kami semua amat bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan YB DUN Batu Rakit ini. Kami akan memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin dan berharap hari raya tahun ini lebih bermakna walaupun tanpa orang tua di sisi,” katanya.