Halaman

29 July 2013

Cabaran Pulau Redang sempena TMT

Oleh; Esah Abdullah

Program Cabaran Pulau Redang (RIC) Antarabangsa akan diadakan selama tiga hari bermula 14 September ini di Pulau Redang dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM18,000.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, RIC menyasarkan seramai 200 peserta dengan melibatkan sebanyak 100 pasukan iaitu dua peserta bagi setiap pasukan.

Menurutnya, penganjuran RIC yang mendapat kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Semula Jadi Terengganu (Tenaga) dan menawarkan hadiah keseluruhan RM18,000 iaitu johan kategori antarabangsa menerima RM3,000 manakala bagi kategori terbuka pula. RM2,000 di samping hadiah iringan lain.

“Program RIC melibatkan tiga disiplin iaitu acara renang bermula di Taman Laut Pulau Pinang, berlari serta merentas denai dan hutan di pulau berkenaan sebelum berkayak mengelilingi Pulau Paku sejauh 12 kilometer keseluruhan.

“Sehingga kini, 24 pasukan termasuk tiga dari Singapura telah mendaftar manakala peserta dari Kenya, Jepun dan Thailand turut memberi persetujuan menyertai program itu..

Katanya, program ini diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013) dan juga promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014) dan penyertaan masih terbuka kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak ini sehingga 31 Ogos.

 Menurutnya, bersempena dengan program itu turut diadakan Program Pelancongan Pelajar (Karnival 3P) melibatkan 35 buah sekolah yang merupakan ahli kelab pelancongan di samping pertandingan sukan pantai antara resort, seperti bola sepak pantai dan juga bola tampar.