Halaman

01 August 2013

Kerajaan timbang wujud organisasi khas untuk anak seni Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersedia menimbang untuk mewujudkan satu organisasi khusus bagi menyelaras sosio dan kegiatan semasa penggiat seni tempatan serta menjaga kebajikan golongan itu sekiranya tidak lagi mampu bergiat aktif akibat sakit dan kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata organisasi berkenaan kemungkinan akan bergerak menerusi geran tahunan yang disediakan kerajaan.

 “Organisasi itu akan menggiatkan lagi aktiviti seni, mereka tidak perlu berjumpa pihak kerajaan untuk meminta sumber kewangan bagi menganjurkan sebarang kegiatan seni.

“Menerusi geran tahunan yang disediakan kerajaan itu mampu melancarkan kesenian dan kebudayaan negeri, malah menjadi pusat untuk menambah ilmu serta melatih generasi baru meneruskan tradisi kesenian itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada aktivis seni, Mazlan Zakaria, di Kampung Tasik, Bukit Payong, semalam.

Dato’ Mohd Jidin, berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas kepada aktivis seni yang uzur dan ditimpa kemalangan berjumlah RM10,000 seorang sebagai bantuan jangka pendek.

Sementara organisasi itu nanti, katanya sebagai satu usaha menjaga kepentingan anak seni bagi jangka masa panjang di bawah satu bumbung.

“Kita berhasrat menjaga dan membantu anak seni sepanjang karier dan juga apabila ditimpa masalah termasuk uzur seperti yang menimpa Mazlan, Habsah Jusoh dan arwah Ibrahim Hulu Terengganu. Kerajaan negeri bersetuju meluluskan bantuan RM10,000.

 “Walau bagaimanapun bantuan itu bentuk jangka pendek dan mengambil kira pandangan anak seni Terengganu mereka berharap kerajaan mengadakan satu oraganisasi kukuh supaya ada persatuan anak seni berlindung di bawah satu organisasi,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya organisasi itu nanti mampu membela kehidupan dan nasib anak seni tempatan yang kebanyakan tidak mempunyai pendapatan tinggi dan hanya sekadar mampu membela diri serta keluarga dengan kegiatan mereka.

Katanya, kerajaan serius dan komited membantu golongan itu yang sudah banyak mengharumkan nama negeri dan juga negara serta menyemarakkan kesenian negeri supaya tidak berhenti di tengah jalan serta meningkatkan sektor pelancongan .

 “Bukanlah kita mahu membayar hasil seni mereka, tetapi satu penghargaan kepada anak seni yang mereka tidak semua ada pandangan sebagaimana orang seni.

 “Mereka bergerak melalui bidang mereka dan mereka seakan-akan memberi hiburan kepada kebanyakan rakyat , tetapi apabila mereka susah mereka perlukan perlindungan dan kerajaan mestilah mengambil perhatian dan serius dengan keperluan mereka,” katanya.