Halaman

01 August 2013

Peniaga ayam pasar tani ikut arahan KPDNKK

Oleh: Suriati Ali Mohd Hafizuddin Mat Tahar (Pelatih) 
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Peniaga ayam di beberapa pasar tani di negeri ini, patuh dengan arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan menjual ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram.

 Tinjauan Teganukita di Pasar Tani Jalan Hiliran, Kuala Terengganu mendapati rata-rata peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual bekalan itu pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu, dianggap masih tinggi oleh segelintir pelanggan.


 Seorang peniaga, Mazlan Zaki, 50, berkata dia menjual ayam pada harga kawalan yang ditetapkan KPDNKK dengan RM7.70 sekilogram biarpun mengetahui ada peniaga pasar basah lain menjual dengan harga lebih tinggi iaitu antara RM8 hingga RM9 sekilogram.
Ayam mentah yang ditawarkan di pasar tani lebih murah berbanding tempat lain

“Harga yang ditetapkan kerajaan sedikit merugikan kami, tetapi tetap akur dengan keputusan tersebut. Apa yang penting pelanggan berpuas hati dengan harga yang ditawarkan.

“Tidak rugi sebenarnya, menjual sesuatu produk dengan kadar lebih rendah, kerana ia diberkati Allah selain pelanggan akan datang kembali untuk membelinya.

“Rata-rata pelanggan tetap menjadikan ayam sebagai menu utama berbuka puasa berbanding ikan yang kini dikatakan lebih mahal berbanding hari biasa,” katanya

Seorang lagi peniaga, Hamzah sidek, 48, berkata meskipun harga yang ditetapkan itu merugikan peniaga namun perlu akur dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menyelasaikan isu harga ayam.

 “Peniaga mematuhi arahan terbabit dengan menjual pada harga kawalan, meskipun harga yang ditetapkan itu tidak memberi keuntungan yang banyak kepada kami.

 Pengguna juga telah sedia maklumkan berhubung harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. Pelanggan dari Batu Rakit, Suhana Alias, 31 berkata dia memang gemar mengunjungi Pasar Tani Jalan Hiliran kerana semua barangan, termasuk ayam mentah murah RM1 hingga RM2 berbanding di tempat lain.

“Walaupun ada pasar berdekatan dengan tempat tinggal, saya tetap ke pasar tani kerana ingin membeli barangan dalam kuantiti yang banyak.

“Jika di pasar tani, pelanggan boleh membeli harga ayam yang ditetapkan KPNNKK iaitu RM7.70 sekilogram, di mana-mana pasar basah lain belum tentu boleh,,” katanya.

 Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan penurunan harga ayam dari harga purata runcit RM8.40 sekilogram kepada RM7.70 sekilogram.

 Harga ini akan dikuatkuasakan selama 17 hari bermula 26 Julai hingga 11 Ogos 2013.