Halaman

31 July 2013

Kanak-kanak istimewa ceria dihadiah baju raya

Oleh: Aida Abd Rahman

Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi memberi seribu pengertian kepada seorang pelajar kurang upaya, Siti Nooraini Abdullah, 5, apabila berpeluang memilih sendiri pakaian sempena hari raya di Mydin Mall, kelmarin.

Kanak-kanak istimewa itu ceria dan petah berkata-kata biarpun dilahirkan serba kekurangan, dibawa bersama 38 kanak-kanak lain daripada Pra Sekolah Pendidikan Khas, Pendidikan Khas dan Sekolah Kebangsaan Sultan Omar membeli belah di pasar raya itu oleh warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Nooraini yang tinggal bersama ibu dan neneknya di Dungun, kini bersekolah di Pra Sekolah Pendidikan Khas mengalami cacat kedua-dua kaki dan sebelah tangan berikutan kaki sebelah kiri mengerekot, sebelah lagi mereput dan kudung sejak lahir manakala, lima jari tangan kanannya turut kudung sejak kecil.

Dia yang cukup teruja terpilih ke program itu dengan ditemani gurunya, Haidatul Azila Johar, petah berbicara mengenai pakaian pilihannya semepana program itu yang dipilih berdasarkan warna diminatinya, iaitu hitam. 



Kanak-kanak malang itu yang seakan belum mengerti sepenuhnya kekurangan diri, memberitahu pernah diejek rakan, namun tetap mempunyai ramai rakan lain yang rapat dengannya dan tidak membezakannya. 

“Fadhil, Haikal, Muiz..semua kawan baik Nooraini. Ada juga yang ejek Nooraini, tetapi ada juga kawan-kawan yang layan Nooraini dengan baik.

 “Nooraini sekarang tinggal dengan tok dan Ummi, Ummi baik..,” katanya.

 Menurut Haidatul, Noraini antara kanak-kanak yang ceria di dalam kelas dan amat cerdas, walaupun dirinya dilahirkan cacat fizikal. 

“Walaupun dia tidak boleh berjalan, dia tidak menyusahkan guru apabila hendak ke tandas, dia pandai menguruskan dirinya sendiri, pandai basuh sendiri apabila buang air kecil atau air besar.

 “Alhamdulillah, Nooraini adalah budak pintar dan kita harap dia akan terus berkembang dengan baik sehingga mencecah alam remaja dan dewasa nanti,” katanya.