Halaman

31 July 2013

Dua penggiat seni Terengganu terima `duit raya' RM10,000 seorang

Oleh: Aida Abd Rahman, Nurul Suraya Abdul Sukur dan Mohd Hafizuddin Taha (Pelatih)

Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma kira-kira seminggu lagi lebih bermakna buat dua penggiat seni Terengganu yang sedang uzur, apabila menerima `duit raya’ RM10,000 seorang , hari ini.



Sumbangan kerajaan negeri yang diluluskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco pertengahan bulan lalu, disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee kepada Encik Mazlan Zakaria, 53,dan Puan Habsah Jusoh,65, di rumah masing-masing, di Kampung Tasek, Bukit Payong dan Flat Kampung Kolam, Kuala Terengganu.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengharapkan sumbangan RM10,000 seorang itu daripada kerajaan dapat meringankan beban yang sedang mereka hadapi termasuk menanggung kos perubatan mereka.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan seterusnya menyertai perkumpulan teater Komputer dan pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada era 1990-an.

Bapa kepada tujuh itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kini kaki kanannya turut dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.

Sementara Puan Habsah yang terkenal sebagai penyanyi lagu asli dan rakyat Terengganu seperti , Ulek Mayang, Anak Burung Baniong, Anak Udang dan Watimang Landak pernah memenangi Anugerah Tokoh Penggiat Muzik Terengganu 2010.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan mama mengidap serangan strok dan sering berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.