Tidak mungkin berlaku ketidaktelusan dalam proses kelulusan permohonan Program Perumahan Rakyat (PPR) berikutan semuanya dinilai dan disiasat secara terperinci, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimah Sadique.
Beliau berkata, kementeriannya yang menggunapakai sistem pendaftaran terbuka memerlukan pemohon melalui beberapa prosedur termasuk proses temu duga dan siasatan ke rumah bagi memeriksa latar belakang serta keadaan sebenar pemohon.
Justeru, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan perkara ketidaktelusan tidak mungkin berlaku dan hanya mereka yang menepati kriteria serta syarat termasuk berpendapatan kurang RM2,500 sebulan akan ditawarkan kemudahan itu.
"Jadi, siapa saja yang menepati syarat ditetapkan, boleh memohon melalui sistem pendaftaran terbuka dan kerajaan negeri melalui pegawai masing-masing akan menjalankan temu duga serta melakukan pemeriksaan di rumah pemohon bagi melihat sendiri keadaan pemohon sebelum ditawarkan rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Projek Wilayah Timur KPKT, Encik Rosslan Ramli.
Projek yang lebih 80 peratus siap itu merangkumi tiga blok rumah pangsa setinggi 17 tingkat meliputi beberapa kemudahan asas seperti dewan, tempat letak kenderaan, taman permainan dan surau yang mampu memuatkan 800 jemaah pada satu masa.
Perumahan yang dijangka siap pada Disember ini menawarkan 1,002 unit rumah kepada pembeli pada harga RM35,000 seunit berbanding kos sebenar RM160,000 seunit.
Selain itu, Datuk Halimah berkata, kerajaan turut mengambil pendekatan baru memperkenalkan konsep komuniti dengan menerapkan reka bentuk serta kemudahan asas lebih baik dalam projek PPR bagi memberi imej baru, kesejahteraan dan mewujudkan keselesaan kepada penghuninya.
"Kita tidak mahu kekal dengan imej lama yang mana dari jauh kalau tengok rumah pangsa dah tahu itu rumah murah.
"Kita nak buang stigma ini dan ambil pendekatan baru menerapkan reka bentuk baru serta kemudahan asas lebih baik untuk kesejahteraan penghuninya," katanya.