Halaman

22 July 2013

Kaunter bergerak MBKT dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali, Nurul Suraya Abd Sukor dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Pendekatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak di kawasan awam nyata memudahkan orang ramai untuk berurusan pelbagai hal berkaitan tanpa perlu bersesak di ibu pejabat majlis itu.

Perkhidmatan kaunter bergerak MBKT mendapat sambutan orang ramai
Antara kawasan awam dan tarikh yang ditetapkan, termasuk Taman Permint Perdana Kampung Batin pada 6 dan 8 Julai; Perumahan Kondo Rakyat, Kuala Ibai (13 dan 15 Julai), Taman Permint Jaya Chendering (20 dan 22 Julai) dan Kawasan Ibai Golf, Kuala Ibai (27 dan 29 Julai).

Manakala perkhidmatan yang disediakan, menyelesaikan masalah dan kemusykilan mengenai cukai pintu, semakan serta bayaran bil dan khidmat nasihat.

Tinjauan Teganukita mendapati, rata- rata pelanggan yang berurusan memuji langkah MBKT kerana lokasi yang dipilih bukan saja mudah mendapatkan ruang tempat letak kereta malah pegawai yang bertugas mesra pelanggan.

Kaunter Bergerak MBKT
Pengarah Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Encik Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pihaknya memilih lapan lokasi disekitar MBKT dan kaunter mula dibuka jam 9 pagi hingga 3 petang. 

Katanya, dengan adanya kaunter bergerak itu orang ramai tidak perlu lagi datang ke pejabat negeri untuk membuat urusan berkaitan mereka hanya perlu ke kaunter yang dibuka di kawasan berdekatan.

“Orang ramai perlu merebut peluang ini yang dianjurkan Jabatan Penilaiannya sempena Hari Bertemu Pelanggan bagi membolehkan kompaun tunggakan dan cukai semasa 2013 mereka dihapuskan.

Encik Anuar Dollah
“Pihak kami akan mempergiatkan pembukaan kaunter bergerak di kawasan awam bagi memberikan pengetahuan kepada mereka dalam masa yang sama memudahkan untuk bertemu dengan pegawai MBKT,” katanya.

Pembantu Penilaian MBKT, Encik Mohd Anuar Dollah, berkata pihaknya menyediakan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai hadir, khususnya pemilik hartanah seperti rumah kediaman, kedai, harta perniagaan, perusahaan hotel, kilang dan semua premis.

Wan Mariam
"Istimewanya, mana-mana pelanggan yang hadir di kaunter bergerak ini, kompaun tunggakan dan cukai tahun ini akan dihapuskan dan terbuka kepada semua," katanya.

Seorang pelanggan, Wan Mariam Wan Awang, 47, dari Batu Rakit, berkata dia mahu berurusan berkaitan cukai pintu dan .mengetahui perkhidmatan yang disediakan itu melalui akhbar.

“Biarpun jauh dari rumah, makcik sanggup datang kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas di pusat bandar raya,” katanya.