Halaman

25 July 2013

Rakyat Kuala Besut percaya pada BN

Oleh: Suriati Ali 

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menunjukkan rakyat Terengganu menaruh kepercayaan kepada parti gabungan itu untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu Encik Saiful Bahri Baharuddin, kemenangan itu membuktikan rakyat tidak terpedaya malah menguburkan teori 16:16 yang digembar-gemburkan PAS bagi mewujudkan kerajaan negeri 'tergantung' yang boleh menjurus kepada ketidakstabilan politik dan pentadbiran negeri.

 "Saya berharap PAS mengakui hakikat bahawa rakyat di Terengganu masih memerlukan BN, dan marilah kita istiqamah bersama-sama untuk membentuk kerajaan yang adil untuk rakyat di Terengganu," katanya.

Ketua Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Shafei pula menegaskan kemenangan itu menolak tohmahan pembangkang kononnya sokongan rakyat terhadap BN telah berkurangan.

 "Tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut yang keluar mengundi dan menunaikan hak mereka," katanya

BN berjaya mengekalkan status kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu apabila berjaya mempertahankan kemenangan di Kuala Besut dengan majoriti 2,592 undi.

Calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menewaskan wakil PAS, Endut @ Azlan Yusof selepas memperoleh 8,288 undi. Azlan yang lebih dikenali sebagai 'Che Long' memperoleh 5,696 undi.BN berjaya menambah majoriti sebanyak 158 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, BN menerusi wakilnya, Dr A. Rahman Mokhtar menang di DUN Kuala Besut dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.

Kemenangan BN ini sekaligus menafikan sasaran PAS untuk mewujudkan 'DUN Tergantung' di Terengganu dengan agihan kerusi sama banyak 16:16. PRK DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.