Halaman

24 August 2013

YAB Menteri Besar Terengganu ke Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Utama GM Terengganu Masters 2013 di Resort World, Kijal, Kemaman.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada pemenang PGM Terengganu Masters di Resort World, Kijal, Kemaman.








Rapatkan jurang perbezaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Rakyat negeri ini diminta merapatkan jurang antara mereka bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu, terutama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56.

Ketua Penerangan Umno, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata semasa pilihan raya umum lalu memang terdapat jurang antara penduduk tempatan disebabkan sokongan dan fahaman politik yang berbeza.

Bagaimanapun, katanya, PRU13 sudah berlalu dan kini rakyat perlu bersatu padu dan mendokong kerajaan semasa yang dipilih secara majoriti oleh rakyat, demi kebaikan semua.

“Saya menucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kepada semua rakyat Terengganu, khususnya mereka yang tinggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan rumah terbuka DUN Seberang Takir di Dataran Permata, hari ini.

Pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan kempimpinan Umno negeri turut hadir memeriahkan majlis berkenaan yang bermula jam 11.30 pagi hingga 5 petang.

Ketika ditemui Teganukita, Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, berkata rakyat negeri ini perlu mendokong kerajaan negeri dan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) supaya ia sentiasa kuat dan tidak perlu bergantung kepada kuasa asing.

“Jika kerajaan lemah dan perlu mendapatkan bantuan asing bagi mentadbir negara, rakyat akan mendapat susah kerana kita perlu membayar bantuan mereka dengan harga yang mahal,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya terus menyokong kerajaan dan membantu memulihkan kepercayaan pengundi terhadap BN pada pilihan raya akan datang.

 

YB Haji Muhammad Pehimi bin Yusof mewakili Menteri Besar ke Majlis Pelancaran Kempen Kawalan Tikus Program Gotong Royong Perdana 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Medan Selera Hadapan TNB, Jalan Sulaimani, Chukai, Kemaman.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

YB Haji Muhammad Pahemi menampal lubang tikus ketika menyertai gotong-royong di Pasar Chukai, Kemaman.

Pelajar INSPI menunjukkan tikus yang berjaya ditangkap dalam gotong-royong berkenaan.

YB Muhammad Pahemi memegang tikus yang masuk perangkap.






Sukan Golf mampu tarik pelancong luar ke Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Sukan Golf berpotensi sebagai salah satu produk pelancongan yang boleh diketengahkan untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke negeri ini khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Aidi Ahmad, 43, yang merupakan peminat sukan bertaraf antarabangsa ini berkata, beliau menyokong sepenuhnya usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Negeri Terengganu sebagai satu destinasi golf terkemuka melalui pelbagai kejohanan bertaraf profesional serta menjadikan kejohanan golf sebagai acara tahunan dalam kalendar aktiviti pelancongan negeri.

"Terengganu mempunyai banyak tempat yang cantik dan menarik, justeru melalui penganjuran kejohanan golf yang diadakan kerajaan negeri, secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada peserta luar menikmati keindahan negeri ini.

"Sebagai contoh, melalui pengajuran kejohanan golf ‘PGM Terengganu Master 2013’ yang diadakan di Kemaman kali ini memberi peluang kepada peserta berkunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar daerah ini.

"Selain dapat mempromosikan negeri ini, ia sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk setempat,’ ujarnya kepada Teganukita selepas menyertai Pertandingan Golf Pro-Am di Resort World Kijal, baru-baru ini.

Beliau yang berjaya merangkul johan keseluruhan bagi pertandingan yang diadakan sempena ‘PGM Terengganu Master 2013’ itu menjadikan sukan golf sebagai hobi dan mengambil peluang menyertai kejohanan tersebut untuk menambah kenalan bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan dalam bidang pembinaan yang diceburinya.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Golf Pro-Am telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Dato' Mohd Jidin Shafie serta Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

 

23 August 2013




Lebih 5,000 hadir rumah terbuka Speaker DUN

Lebih 5,000 orang hadir pada majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri yang diadakan di kediaman Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Zuber Embong di Merbau Patah, petang ini.

Pemimpin kerajaan, pemimpin Umno, ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat tempatan turut hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Tetamu majlis berkenaan dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan tradisional dan hidangan hari raya.


MB sertai solat hajat, tahlil sempena bulan kemerdekaan

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyertai majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, malam tadi.

Lebih 300 jemaah hadir majlis berkenaan yang diketuai Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Haji Aizi Saidi Abdul Aziz.

 Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Zuber Embong, pemimpin kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuaan.

 Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti dengan solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil.

Menteri Besar kemudiannya membacakan perutusan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56.

Jangan memasak makanan berulang lebih dua kali- pakar pemakanan

Oleh; Esah Abdullah

Peniaga kedai makan diingatkan tidak memasak makanan secara berulang lebih daripada dua kali bagi mengelak makanan berkenaan boleh menyebabkan keracunan kepada mereka yang memakannya.

Tenaga Pengajar Pengendali Makanan, Pusat Pengembangan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Puan Suriati Nordin berkata, ada kalangan peniaga makanan menyediakan makanan yang dimasak secara berulangan lebih dua kali.
Puan Suriati sedang mengatakan sesuatu kepada peserta kursus

Menurutnya, apabila makanan yang telah dimasak secara berulangan zat makanan semakin berkurangan dan risiko tercemar adalah tinggi.

“Makanan yang tidak habis sudah tidak boleh dijual untuk esoknya, namun makanan seperti ayam atau ikan goreng mungkin boleh dimasak untuk hidangan seperti ayam atau ikan masak merah dan sebagainya.

“Sekiranya, ia tidak habis pada hari berkenaan makanan itu sudah tidak boleh dimasak dan seterusnya dijual kepada pelanggan untuk hari seterusnya sebaliknya cukup hanya dua kali sahaja,” katanya semasa mengendalikan Taklimat Pengendali Makanan kepada 32 Peserta Kursus Latihan Pengendali Makanan 2013 (KLPM) di Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu, semalam.

 Menurutnya, makanan juga tidak boleh disedia terlalu awal sebaliknya perlu disediakan empat jam sebelum dihidang.

“Manakala makanan atau sayuran yang disimpan dalam dalam peti sejuk juga perlu disimpan dalam kedaan suhu dua hingga tiga darjah celsius bagi mengelak makanan tidak cukup sejuk atau terlampau sejuk.

“Mereka juga perlu menggunakan pembungkusan makanan seperti menggunakan polistren atau kertas pembungkus dan elak menggunakan suratkhabar untuk membungkus makanan,” katanya.

Selain pengendali makanan, perkakasan dan juga lokasi juga perlu sentiasa berkeadaan bersih, tidak merokok dan sebagainya di bawah Akta Makanan 1983 dan termaktub di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
 

Program candat sotong ke peringkat antarabangsa

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri akan mempromosikan Program Mencandat Sotong ke peringkat antarabangsa sebagai satu lagi produk pelancongan negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya merancang membawa petugas media dari luar negara merasai sendiri pengalaman mencandat sotong dalam usaha mempromosinya sebagai produk pelancongan.

 “Pendekatan itu bagi meningkatkan lagi industri pelancongan berasaskan eko pelancongan Terengganu sekali gus mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan.

"Seperti kita semua tahu, aktiviti mencandat sotong dari April hingga Jun pada setiap tahun sudah jadi macam satu pesta dan ia bukan lagi sumber pendapatan nelayan semata-mata, sebaliknya satu lagi cabang pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui di Majlis Jamua Raya, Muzium Negeri Terengganu..

 Katanya, bermula tahun depan, pihaknya akan cuba mendapatkan media luar negara, termasuk Eropah, Jepun, China dan Korea untuk bersama-sama merasai pengalaman mencandat sotong di Terengganu.

“Apabila pulang, mereka akan mempromosi aktiviti berkenaan kepada rakyat negara itu melalui media masing-masing,” katanya.

Menurutnya, destinasi Pulau Kapas amat berpotensi untuk terus dimajukan bagi aktiviti mencandat dan ia boleh dimasukkan sebagai sebahagian pakej dengan kadar harga berpatutan bagi menarik pelancong.

 "Saya dapati Pulau Kapas paling dekat dengan pantai. Justeru, ia boleh dijadikan sebahagian pakej sama termasuk tempat persinggahan, lokasi mencandat dan mengelilingi pulau.

 "Ia akan memberi rezeki tambahan kepada nelayan, pengusaha chalet dan ramai lagi yang terbabit sekali gus meningkatkan ekonomi negeri," katanya.

 

Pegawai Tadbir perlu sentiasa beri komitmen tinggi

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu meriah dengan kehadiran ramai ahli bersama keluarga masing-masing walaupun diadakan pada sebelah malam yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To' Puan Seri Norliza Mahmud bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah meluangkan masa hadir ke majlis berkenaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad semasa berucap di majlis berkenaan turut berpesan kepada pegawai tadbir negeri ini agar sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diamanahkan.

"Dalam membantu pembangunan negeri, saya berharap semua pegawai tadbir melaksanakan tangungjawab masing-masing dengan penuh keikhlasan agar setiap pembangunan yang dirancang dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Rumah terbuka yang bermula jam 9 malam itu menyaksikan pegawai tadbir dari semua daerah di negeri ini dapat berkumpul dan saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Para tetamu disajikan dengan pelbagai makanan tradisional dan moden yang boleh diperolehi daripada gerai khas yang dibina berkonsepkan restoran.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan lagu raya oleh kumpulan SUKTRA.