Halaman

29 January 2014

Kem Gajah di Tasik Kenyir Produk Baru Pelancongan

Oleh FAUZI MOHD
Video oleh MOHD YAHYA MUDA

 HULU TERENGGANU - Sebagai sebahagian daripada langkah meningkatkan daya tarikan Tasik Kenyir agar menjadi produk pelancongan utama negeri, struktur asas kem gajah kini telah siap dibangunkan.



 Kem yang dikenali sebagai ‘Kenyir Elephant Village’ di kawasan seluas 256 hektar di Pengkalan Gawi dijangka dibuka kepada orang ramai pertengahan tahun ini.





 Ia mengambil sebahagian daripada contoh di Chiang Mai, Thailand yang membantu menjadikannya sebagai pusat pelancongan terkemuka.

 Pengurus Unit Pembangunan Tasik Kenyir, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, kem itu akan dijadikan pusat pertunjukan gajah dan pada masa sama sebagai kawasan pemeliharaan haiwan itu.

 ''Ia dibahagikan kepada tiga komponen melibatkan kawasan gajah jinak, gajah separuh liar dan yang liar,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tujuh ekor gajah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kem itu hari ini.

 Beliau berkata, tapak yang mula dibina tahun 2012 itu mempunyai keindahan semulajadi seperti air terjun dan sungai yang mengalir jernih, sesuai dijadikan kawasan rekreasi.

 ''Buat permulaan, tujuh ekor gajah jinak telah diperoleh daripada Jabatan Perhilitan yang akan dilatih untuk mengadakan pelbagai aksi dan pertunjukan seperti melukis, menari manakala orang ramai boleh turut menunggang,” katanya.

 Tengku Mohd Ariffin berkata, kerajaan negeri akan mengambil jurulatih dari Thailand untuk melatih haiwan berkenaan selain menggunakan khidmat jurulatih tempatan.

 Selain itu katanya, selain kemudahan 30 buah kandang gajah, jambatan gantung sepanjang 500 meter turut dibina bagi membolehkan pengunjung melihat gajah separuh liar yang ditempatkan di situ.

 Katanya, untuk memastikan keselamatan pengunjung, kawasan itu akan dilengkapi pagar elektrik terutama di kawasan penempatan gajah liar dan bagi menambahkan daya tarikan dan memberi pengalaman menarik, calet di atas pokok akan dibina.

 ''Buat permulaan dua buah calet akan dibina dan ianya akan dilaksanakan secara berperingkat dalam fasa seterusnya jika mendapat sambutan,'' katanya.










Masyarakat Cina-Siam Setiu dapat ang pau.

Wee (kanan) bersama YB Zul, isteri dan Pegawai Penerangan Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 50 penduduk masyarakat Cina dan Siam daerah Setiu menerima sumbangan ang pau dan limau daripada Ahli Parlimen Setiu dalam satu majlis sempena sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Kampung Fikri, Setiu, kelmarin.

Majlis itu diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat Cina Tiong Hua dan Siam serta sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengerusi Persatuan masyarakat Cina Tiong Hua dan Siam Daerah Setiu, Wee Beng Hai, berkata beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh kerana sudi hadir ke majlis itu.
\
Sebahagian tetamu yang hadir.
“Walaupun masyarakat Cina dan Siam di daerah ini tidaklah ramai tetapi kesudian YB Zul dan pemimpin BN yang lain yang sentiasa mengambil berat tentang masyarakat ini amat kami hargai dan kami sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka.

“Kehadiran YB Zul pada pada hari ini menunjukan beliau begitu perihatin dengan masyarakat Cina dan Siam di sini dan ia akan memeriahkan lagi sambutan tahun baru cina pada tahun ini,” katanya mengenai majlis anjuran bersama Jabatan Penerangan Daerah Setiu itu.

 Dalam pada itu, Zulkifly dalam ucapannya mahu masyarakat Cina dan Siam di Parlimen Setiu supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya masyarakat itu akan terus di bela dan mendapat perhatian daripada kerajaan.

Turut hadir ialah Pegawai Penerangan Daerah Setiu, Noriham Ahmad dan isteri Zulkifly, Husainah Mohamad.

 

YPU jadi pusat latihan pemandu pelancong bertauliah

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bersedia menjadi pusat melahirkan lebih ramai pemandu pelancong bertauliah sebagai usaha membantu sektor pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelawat dari luar negara ke Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Razali Adis, berkata pihaknya mengambil peranan membantu sektor pelancongan negeri memandangkan jumlah pemandu pelancong di negeri ini masih berkurangan.

"YPU boleh menjadi agensi yang menyediakan latihan kepada penggiat dan agen-agen pelancongan seperti mewujudkan lebih ramai pemandu pelancong sama ada di luar dan juga dalam bandar di seluruh Terengganu,” katanya kepada media selepas program Jejak Usahawan Terengganu, di Kilang SME Bank, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud.

Dalam pada itu, YPU juga menyokong kerajaan negeri bagi mempertimbangkan cadangan menyediakan pembiayaan khusus kepada pengusaha pelancongan di Terengganu.

“Satu bengkel (Bengkel Hala Tuju Pelancongan Terengganu) yang baru selesai semalam, juga memutuskan seharusnya kerajaan negeri berperanan menyediakan pinjaman kepada pengusaha pelancongan juga mungkin boleh diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan.

“Rata-rata agen pelancongan seolah-olah berkata mereka tiada tempat untuk mendapatkan pinjaman, malah mungkin mereka kekurangan dokumen yang boleh menyokong untuk memberi keyakinan kepada mana-mana bank atau agensi kerajaan bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan berkenaan,” katanya.

Selain itu, YPU menerusi Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sedang menimbang cadangan bagi menambah baik jenama Terengganu seperti T-Shoppe, T-Dagang dan T-Lekor dalam usaha memberi lebih impak positif kepada industri peruncitan di negeri ini pada masa depan.


SME Corp sedia pembiayaan RM3.6j kepada 20 syarikat tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

SME Corporation Malaysia memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM3.6 juta kepada kira-kira 20 buah syarikat yang akan dikenalpasti pada tahun ini di seluruh Terengganu.
Pengarah SME Corp negeri, Muhammad Ibrahim, berkata kesemua 20 syarikat berkenaan dijangka akan memperolehi geran sebanyak RM200,000 hingga RM500,000 bagi membangunkan perniagaan merangkumi aspek persijilan, perlabelan dan pembungkusan.

“Sehingga kini SME Corp masih dalam proses memilih syarikat yang berprestasi tinggi untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka supaya dapat memanfaatkan pembiayaan iotu sebaik mungkin, selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya kepada media selepas program Jejak Usahawan Terengganu, di Kilang SME Bank, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud.

Dalam pada itu, SME Corp kini menjadi antara 18 agensi yang menganggotai jawatankuasa Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu, satu badan yang menjadi platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju serta pemberian geran kepada usahawan di negeri ini.

Katanya, SME Corp telah menyalurkan RM19.6 juta kepada 133 usahawan di Terengganu yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan sejak 2007 sehingga kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29 peratus peruntukan disalurkan kepada bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman, simen dan perkayuan (17 peratus), minyak dan gas (14 peratus) dan tekstil serta pakaian (11 peratus) manakala bakinya disalurkan untuk bidang lain.

"Setakat ini kesemua usahawan yang mendapat geran SME Corp menunjukkan prestasi pertumbuhan yang memberangsangkan, malah sentiasa memberi komitmen padu dalam apa sahaja usaha yang dijalankan untuk melonjakkan perniagaan mereka.

"SME Corp dengan kerjasama rapat agensi kerajaan yang lain, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan YPU Terengganu sentiasa memantau perkembangan perniagaan mereka," katanya.


ANTARTIKA: YB MAHDI MINTA PEMBANGKANG RASIONAL DAN MENERIMA PENDEKATAN ISLAM AGAR KITA SENTIASA BERSANGKA BAIK


Kejayaan mengadakan perjanjian persefahamanan atau MOU di antara Institut Antartico Chileno (INACH) dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) yang telah ditandatangani dan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said adalah bukti kebenaran bahawa pemergian beliau ke Antartika bukanlah tujuan suka-suka sebagaimana tuduhan pihak tertentu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, YB Mahdi Musa.
  Begitu juga katanya tarikh MOU yang telah ditetapkan oleh kedua belah pihak NACH dan YPASM dan Menteri Besar Terengganu yang diberi kepercayaan selaku saksi rasmi perlu hadir pada tarikh berkenaan, jadi tidak timbul kenapa pada masa ini atau pada masa yang tidak sesuai Menteri Besar ke sana kerana beliau perlu menepati apa yang telah dijadualkan untuk beliau.
 Ditanya tentang tuduhan membazir lawatan itu sebagaimana tuduhan pembangkang, YB Mahdi berkata “Kalau hendak dikatakan lawatan kerja keluar negara itu membazir sebagaimana tuduhan Pas, ia tidak benar kerana ia adalah ada manfaat dan keperluan tersendiri, berbanding rombongan rombongan semasa Pas memerintah Terenggganu juga banyak dilakukan diketuai oleh Menteri Besar bahkan disertai lagi oleh beberapa Exco dan lain-lain dan tentulah mereka sebagai kerajaan pada waktu itu juga mempunyai perancangan dan agenda mereka untuk negeri”.
 Oleh itu, katanya, kita hendaklah saling berbaik sangka dan jangan kerana kepentingan politik segalanya dipolitikkan. -
  “Kita tunggu dah tak berapa lama lagi Menteri Besar dan para sainstis terbabit akan tiba dari Antartika yang akan memberitahu hasil lawatan, menceritakan pengalaman dan dapatan masing-masing sebagai permulaan langkah”, katanya.

ADUN Kuala Besut bantu mangsa kebakaran


YB Tengku Zaihan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran

Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib malang yang menimpa keluarga Mohd Azam Zakaria, 46, dari Kampung Alur Teratai,Kuala Besut, yang terbabit dalam kejadian kebakaran rumahnya mendapat perhatian pemimpin kerajaan di daerah Besut.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin ketika semua kelurga berkenaan tidak ada di rumah dan bekerja manakala anak-anak ada di rumah jiran.

Mohd Azam yang bekerja sebagai buruh mengait kelapa bagaimanapun terkejut selepas dimaklumkan rumah beliau hangus sekelip mata dalam kebakaran berkenaan.

Berikutan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, tanpil menghulurkan bantuan keperluan harian bagi meringankan beban hidup mangsa.

Selain itu, Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut yang diwakili Pegawai Khasnya, Rozali Embong turut menyampaikan bantuan.

Kejadian itu juga menyebabkan mangsa sekeluarga tujuh beranak kini terpaksa tinggal menumpang sementara di Balai Raya Kampung Alur Teratai, sebelum mendapat tempat tinggal kekal.

Menurut Mohd Azam, semua barang keperluan termasuk dokumen penting hangus dalam kebakaran itu.

“Saya tetap bersyukur kerana ketika kejadian semua tujuh beranak tidak ada di rumah, jika tidak mungkin sesuatu yang buruk akan berlaku,”

Jabatan Bomba Bomba dan Penyelamat Besut yang menerima panggilan itu bergegas ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.dengan dua buah jentera dan Sembilan anggota

Penjualan tanah wakaf UCB mengalakkan.

Tengku Mahmud...sambutan baik.


Oleh: Aminudin Ismail.

SAMBUTAN orang ramai terhadap penjualan tanah wakaf bagi penubuhan sebuah universiti wakaf pertama di negara ini di Putera Jaya, Bandar Permaisuri, Setiu, begitu mengalakkan.

Pengerusi Eksekutif UCB, Dato’ Tengku Mahmud Mansor, berkata sehingga kini kira-kira RM500 hingga RM600 ribu diterima pada setiap bulan hasil penjualan wakaf yang dikelolakan oleh Peyatim itu.

“Sehingga kini yang menjadikan egen penjualan wakaf KTB ini ialah semua cawangan Pejabat Pos iaitu sebanyak kira-kira 700 tempat dan Bank Simpanan Nasional (BSN) lebih kurang 1200 cawangan.

“Jadi lebih kurang 2000 'outlet' wakaf di seluruh Malaysia sudah berjalan dan kemasukan pada setiap bulan lebih kurang RM500 ribu ,RM600 ribu sebulan pada semua outlet itu.

“Dan dijangkakan, Insya Allah dalam beberapa bulan ini, ‘income’nya di jangka bertambah dalam RM1 juta dan kita menjangkakan dalam tempoh lima tahun kita dapat kumpulkan dalam RM100 juta dan kita akan membangunkan kampus ini.

Tengku Mahmud berkata, kampus UCB itu bersiap sedia untuk menampung kira-kira lima ribu pelajar pada masa akan datang dan beliau yakin sasaran itu akan dicapai kerana masyarakat memberi kerjasama yang baik ke arah menjadihkan UCB sebuah universiti wakaf pertama di Malaysia.

 

28 January 2014

Fosil tumbuhan kuno berusia 350 juta tahun ditemui di Besut


Dato' Yunus (berbaju putih) menunjukkan tempat fosil ditemui

Oleh: Mohammad Ishak 

Daerah Besut dijangka menarik perhatian ahli geologi negara apabila penemuan fosil tumbuhan dipercayai berusia 350 juta tahun ditemui di tapak pembinaan projek ampangan Paya Peda,Hulu Besut.

Penemuan fosil oleh ahli kajibumi, Mohd Zaidi Mohd Yah yang juga jurutera projek pembinaan berkenaan pada 2011 kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil perhatian.

Selepas tiga tahun pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) yang bertanggungjawab membuat kajian akhirnya tujuh sepesis tumbuhan berkarbon ditemui oleh pakar yang terbabit dalam kajian itu.

Berikutan penemuan fosil itu, Ketua Pengarah JMG, Dato’ Yunus Abdul Razak membawa wakil media ke lokasi penemuan semalam untuk menyapaikan maklumat awam kepada orang ramai.

Yunus berkata, penemuan fosil berkenaan disifatkan rekod baru kepada JMG kerana ditemui begitu banyak dalam jarak yang dekat.

Katanya, proses kaijan oleh kakitangan jabatan itu mengambil masa lama untuk mempastikan bahan berkenaan benar-benar tulen dan mempunyai nilai warisan yang tinggi.

Menurutnya, penemuan fosil dilereng bukit selepas kerja-kerja meratakan tanah di tapak pembinaan ampangan terbabit dilakukan secara teliti oleh pakar untuk mendapatkan kepingan fosil yang pelbagai geologi.

Katanya, sehingga ini Terengganu merekodkan 23 lokasi sebagai sumber warisan geologi dimana dua daripadanya diberi penarafan luar biasa.

“Bagaimanapun penemuan di Paya Peda ini amat menarik kerana ditemui dalam kelompok setempat pada aras 150 meter ketinggian dari aras laut,” katanya.

Antara fosil yang ditemui ialah berbentuk bunga, daun, akar, dahan dan batang pokok. Selain itu kajian juga menemui kesan tahi gunung berapi dan batu arang.

MENGENALI PENGERUSI GOLDEN PHAROS YANG BARU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita.


Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Abdul Rahman Bakar telah dilantik sebagai Pengerusi Golden Pharos (GP) Berhad berkuatkuasa 8 Januari 2014.
 Golden Pharos adalah syarikat yang tersenarai di BSKL ,dikuasai oleh kerajaan negeri Terengganu mempunyai beberapa buah syarikat kumpulan termasuklah Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu Sdn.Bhd., Pesaka Terengganu Bhd., Pesama Timber Corporation Sdn.Bhd.,Golden Pharos Sdn.Bhd.
  Ketika ditemui Pengarang Teganukita, Dato’ Abdul Rahman berkata wawasan beliau sebaik sahaja menerajui GP ialah memastikan semua anak syarikat GP memperolehi keuntungan

 . “Saya nak pastikan mana-mana anak syarikat mencari jalan untuk tingkatkan keuntungan lagi,” katanya. Oleh sebab itu, langkah pertama beliau ialah melawat dan mendapatkan taklimat tentang operasi syarikat. Pada 26 Januari lalu beliau telah melawat Kumpulan Kayu Kayan Sdn.Bhd dan Pesaka Terengganu Berhad. “Semalam 27 Januari saya melawat Pesama Timber di Kemaman,” beritahunya.


 Pada bulan depan beliau dijangka melawat GP Glass Sdn.Bhd di Selangor. Dato’ Abdul Rahman berkata, operasi Pesama Timber baru dmulakan semula setelah ditutup akibat banjir besar baru-baru ini.
 Harapannya ialah syarikat-syarikat yang berasaskan kayu dan balak ini bukan sahaja memperoses balak menjadi kayu tetapi perlu kepada yang lebih lebar lagi seperti membuat perabot dan apa-apa produk dari bahan kayu bagi meningkatkan lagi kadar keuntungan.

Guru diminta agar tidak melampau denda murid

 Oleh: Suriati Ali

 Guru di negeri ini diminta berwaspada mengenakan tindakan terhadap murid agar tidak melampau bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib.

 Pengerusi Jawatakuasan Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib, berkata, tidak salah untuk menghukum tetapi mesti ada batasan, tidak perlu melampui batas sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat terutama ibu bapa.

 “Apabila timbul kontroversi seperti susulan ada guru hukum murid macam `lembu’ yang berlaku sebuah sekolah rendah di Sungkai, Perak, baru-baru ini, kedua-dua pihak mendapat impak negatif.

“Kejadian itu menyedihkan kerana guru itu kini diarahkan bertukar ke sekolah lain selain meninggalkan kesan trauma terhadap murid yang dikenakan tindakan ,” katanya selepas merasmikan satu program baru-baru ini.

 Dalam beberapa laporan akhbar, dua murid sekolah jenis kebangsaan Cina, di Sungkai, Perak yang dihukum seperti lembu guru Bahasa Inggeris, kini kembali bersekolah pagi semalam, (26 Januari).