Halaman

29 January 2014

SME Corp sedia pembiayaan RM3.6j kepada 20 syarikat tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman

SME Corporation Malaysia memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM3.6 juta kepada kira-kira 20 buah syarikat yang akan dikenalpasti pada tahun ini di seluruh Terengganu.
Pengarah SME Corp negeri, Muhammad Ibrahim, berkata kesemua 20 syarikat berkenaan dijangka akan memperolehi geran sebanyak RM200,000 hingga RM500,000 bagi membangunkan perniagaan merangkumi aspek persijilan, perlabelan dan pembungkusan.

“Sehingga kini SME Corp masih dalam proses memilih syarikat yang berprestasi tinggi untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka supaya dapat memanfaatkan pembiayaan iotu sebaik mungkin, selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya kepada media selepas program Jejak Usahawan Terengganu, di Kilang SME Bank, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud.

Dalam pada itu, SME Corp kini menjadi antara 18 agensi yang menganggotai jawatankuasa Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu, satu badan yang menjadi platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju serta pemberian geran kepada usahawan di negeri ini.

Katanya, SME Corp telah menyalurkan RM19.6 juta kepada 133 usahawan di Terengganu yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan sejak 2007 sehingga kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29 peratus peruntukan disalurkan kepada bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman, simen dan perkayuan (17 peratus), minyak dan gas (14 peratus) dan tekstil serta pakaian (11 peratus) manakala bakinya disalurkan untuk bidang lain.

"Setakat ini kesemua usahawan yang mendapat geran SME Corp menunjukkan prestasi pertumbuhan yang memberangsangkan, malah sentiasa memberi komitmen padu dalam apa sahaja usaha yang dijalankan untuk melonjakkan perniagaan mereka.

"SME Corp dengan kerjasama rapat agensi kerajaan yang lain, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan YPU Terengganu sentiasa memantau perkembangan perniagaan mereka," katanya.