Halaman

06 February 2014

Enam pelumba TSG galas cabaran di Melbourne

Oleh: Aida Abd Rahman

Enam pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) menggalas cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Herald Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne, Australia sepanjang lima hari, bermula semalam (5 Februari).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozali Salleh berkata, kejohanan lima hari itu akan dibarisi enam pelumba yang diketuai dua pelumba hebat iaitu Anuar Manan dan Muhammad Adiq Hussaini Othman.

"Empat lagi pelumba ialah Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

"Ini merupakan kejohanan kedua yang disertai TSG bagi 2014 selepas Kejohanan Jiexpo Kreterium 2014 Jakarta, Indonesia pada 25 Jan lepas yang mana Manan berjaya menduduki tempat ketiga iaitu penyertaan sulungnya bersama TSG tahun ini," katanya.

Katanya, kesemua pelumba terbabit sebelum ini giat menjalani latihan intensif di sekitar bandar Kuala Terengganu dan Dungun di bawah bimbingan penolong jurulatih Jasmin Roslan sebelum ke Melbourne.

Menurutnya, latihan secara intensif itu bagi memastikan mereka mempamer persembahan hebat pada kejohanan edisi ke-61yang diadakan sejak 1952 dan mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) itu.

Anuar bekas pelumba Synergy Baku Cycling Project dari Azerbaijan dan Muhammad Adiq Muhammad Adiq bekas pelumba Champion System Pro Cycling dari China kembali bersama TSG berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Dalam pada itu, TSG sekarang sedang mencari jurulatih baharu bagi menggantikan Sebastian Duclos dari Itali yang telah tamat kontraknya untuk membimbing pasukan berkenaan.

Tambah beliau, pasukan itu juga bakal mengadakan latihan di laluan jalan raya yang terlibat dengan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang akan diadakan hujung Februari bagi memastikan setiap pelumba dapat menyesuaikan diri dengan laluan itu.

LTdL 2014 edisi ke-19 itu yang akan bermula dari 27 Feb hingga 8 Mac dengan jarak keseluruhan sejauh 1,506.5km meliputi 10 peringkat bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Terengganu.

Perlumbaan berstatus 2.HC (hors category), juga acara terbesar dalam kalendar Jelajah Asia UCI, sekali lagi mempamerkan keindahan pemandangan di seluruh Semenanjung Malaysia.


100 sertai latihan menembak Imigresen/ 3,290 Pati di tahan dalam Op 6P Fasa II di seluruh negara.

Seorang peserta wanita sedang fokus untuk menembak.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 100 anggota Jabatan Imigresen negeri ini dan beberapa wakil dari 20 agensi kerajaan menyertai latihan menembak di Lapang Sasar Lembah Bidong, hari ini.

Program tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan pengunaan senjatapi oleh anggota Imigresen itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, Zahari Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Azhar Abdul Hamid.

Menurut Azhar, antara jabatan lain yang terbabit dengan latihan itu ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.

Azhar (kiri) bersama Zahari (tengah) di sidang media.
"Selain itu, program ini juga bertujuan memberi penghargaan kepada agensi-agensi yang terbabit membantu Jabatan Imigresen negeri ini ketika operasi mengempur pendatang tanpa izin (Pati), baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Zahari berkata, sepanjang tempoh operasi bersepadu Fasa II Op 6P yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini, beberapa premis dan kediaman diperiksa.

"Setakat ini sebanyak 397 operasi dilancarkan di seluruh negara (Op 6P Fasa II) termasuk Sabah dan Serawak. Sepanjang tempoh itu, 14, 919 Pati diperiksa, 3,290 ditangkap dan ditahan di lokap-lokap Imigresen seluruh negara." katanya.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang terbabit dengan operasi bersepadu itu dan katanya, operasi itu akan berakhir pada 31 Disember 2014.
Zahari...14,919 pati diperiksa.

Anggota Imigresen membaca ikrar.

Azhar bersama Pegarah JPJ, Abdul Rahman Emang. (tengah).

Sekumpulan wartawan bertanya soalan kepada Zahari.

Antara tetamu yang hadir.

Bebarapa anggota Imigresen mendengar ucapan Zahari

Zahari menyampaikan cenderahati kepada peserta.
Seorang anggota Imigresen menerima cenderahati.

Antara peserta menembak jemputan yang hadir.

 

Terengganu sasar rampas juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu nekad memburu kembali gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) daripada Selangor pada temasya edisi ke-17 di Perlis, mulai 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Sehubungan itu,  kerajaan negeri komited dalam melahirkan atlet muda berpotensi termasuk menghantar mereka mengikuti siri latihan di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata antara skuad yang menjalani latihan intensif di luar negara termasuk pemain sepak takraw yang kini  mengikuti latihan di Thailand dan pesilat di Batam, Indonesia.

"Mereka sedang menjalani latihan di beberapa negara sebagai persediaan bagi menghadapi Sukma tidak lama lagi kerana sasaran kita mahu kekal juara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran tahunan dan tajaan pakaian sukan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta) di Sekolah Menengah Kebangsaan padang Midin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Di majlis itu, Pasta turut menerima gerakan tahunan kerajaan negeri berjumlah RM30,000 selain tajaan pakaian daripada penaja.

 Pasta, yang ditubuhkan pada Mei 1999, menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini sebagai pusat latihan. Pusat itu kini mempunyai 34 pelatih iaitu pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Sementara itu,  Terengganu menjuarai temasya Sukma sebanyak empat kali iaitu pada 2008, 2010, 2011 dan 2012.

Manakala pada edisi ke-16 di Kuala Lumpur, tahun lepas, Terengganu menjadi naib juara selepas dipintas  Selangor yang muncul juara keseluruhan dengan pungutan 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa.


JPJ Terengganu buka 14 kaunter pelbagai guna

Oleh: Suriati Ali 

Jabatan Perkhidmatan Jalan (JPJ) Terengganu membuka 14 kaunter pelbagai fungsi di pejabat di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu bagi membolehkan pelanggan melakukan urusan mereka dengan mudah dan cepat.

Pengarahnya Encik Abdul Rahman Emang Anyie berkata kaunter pelbagai fungsi itu pertama kali diperkenalkan di pejabat JPJ di kawasan pantai timur bagi meningkatkan tahap sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

 Sebelum ini, orang ramai terpaksa berurusan dengan kaunter berasingan antaranya untuk urusan lesen memandu, cukai jalan, tukar hak milik kenderaan, dan memperbaharui lesen memandu vokasional bagi kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan barangan.

“Usaha itu dilaksanakan bagi memenuhi permintaan pelanggan di mana sebelum ini terpaksa mengambil dua nombor giliran jika mahu memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

"Kini mereka hanya mengambil satu nombor giliran untuk dua urusan di satu kaunter," katanya.

Encik Abdul Rahman berkata bagaimana pun pembayaran saman perlu mengunakan kaunter sedia ada di bahagian penguatkuasa.

Berdasarkan rekod kira-kira 550 pelanggan sehari datang berurusan dengan JPJ Terengganu atau dengan purata 15,431 orang sebulan.

 

Apa kata MB…(isu Antartika)

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said, menjawab pihak berkenaan yang menuduh beliau ke Antartika sebagai satu pembaziran…!!!! Ikuti apa kata MB mengenainya….




Irfan belot, burukkan keadaan


Pengurusan T-Team kesal dengan kenyataan pemain pertahanannya, Ifran Abd Ghani yang jelas menyebelahi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain berkata tindakan pemain yang berasal dari Johor itu hanya memburukkan keadaan apatah lagi ia dibuat dengan memihak pasukan lawan.

Katanya, kenyataan Ifran itu menimbulkan tanda tanya kerana pemain itu tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan hari berkenaan. Irfan mendakwa tidak melihat sebarang kecederaan dialami pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasaan Stefano Impagliazzo yang dikatakan dikasari pengurusan tertinggi JDT.

"Sebagai pemain simpanan, mereka kebiasaannya memanaskan badan di padang ketika kesebelasan utama menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa," kata Syahrizan kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau, pemain yang berusia 25 tahun itu didapati tidak memaklumkan tindakannya membuat kenyataan itu kepada pengurusan T-Team.

Syahrizan berkata perkara terbabit akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi T-Team untuk tindakan susulan.

Semalam, Irfan telah membuat satu kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berhubung kejadian Sabtu lalu itu tanpa pengetahuan pihak pengurusan T-Team.

Pada perlawanan tersebut, T-Team enggan meneruskan saingan babak kedua atas faktor keselamatan selepas mendakwa Rodrigues dan Impagliazzo dikasari pihak pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan. Pada ketika itu, JDT mendahului 2-1.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarakat khas berhubung insiden tersebut, Khamis.


‘MyBrain15’ bantu siswazah sambung pengajian

Oleh: Noraini Jusoh

Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan program biasiswa pengajian lepasan ijazah 'MyBrain15' kepada siswazah yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Terknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program yang ditawarkan dalam MyBrain15 ialah MyMaster, MyPhD dan MyPhD Industri.

Katanya, program MyBrain15 bertujuan melahirkan golongan intelektual berpengetahuan tinggi untuk memacu pertumbuhan penyelidikan dan inovasi, sekali gus dapat memberi sumbangan kepada negara dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi kelak.

 “Program MyMaster dan MyPhD terbuka kepada warganegara Malaysia yang tidak bekerja dan tidak memperoleh pendapatan tetap, bukan penjawat awam atau kakitangan badan berkanun, kakitangan di institusi pengajian tinggi awam, pekerja di sektor swasta dan pensyarah di institusi pengajian tinggi swasta.

 “Manakala program MyPhD Industri pula, terbuka kepada kakitangan daripada sektor swasta yang bekerja di industri dan badan berkanun yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Hajah Nor Akmal Abdul Fatah serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesom, Tuan Haji Mohd Jik Abdul Rahman.

Menurut Dato’ Ahmad Razif, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dengan menghubungi Unit MyBrain15, Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan di talian Hotline 03-88881616 atau melayari laman web di www.moe.gov.my.

 

05 February 2014

Terserah kepada FAM : Rozi

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah mengambil
YB Haji Rozi Mamat
perjalanan sewajarnya , terserah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, semalam.

“Bagi pihak kerajaan negeri menerusi PBSNT, kita sudah mengambil perjalanan dan tindakan sepatutnya bagi membantu melancarkan siasatan kes itu. Terserah kepada FAM untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan lanjut mengenai kemelut membabitkan pasukan kelab, T-Team dengan Johor Darul Takzim ketika aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu.

Rozi yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya kini hanya menyerahkan kepada FAM untuk menetapkan sebarang keputusan berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, beliau berharap walau apa jua keputusan yang dibuat oleh FAM nanti perlulah adil dan menyeluruh selain mampu memberi kepuasan kepada semua pihak.

“Kita mahu biarlah keputusan FAM nanti memberi keselesaan kepada semua pihak, bukan mahu menekan mana-mana pihak.

“Pada masa yang sama, perlu ada tolak ansur dan juga perbincangan antara kedua-dua pihak demi menjaga reputasi dan pembangunan sukan bola sepak negara,” katanya.

Terdahulu, di majlis itu beliau menyampaikan geran tahunan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (Pasta) berjumlah RM30,000.

157 anggota JPJ bantu `Ops TBC’

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menempatkan 157 anggota terutama di 11 lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di Terengganu sepanjang dua minggu Operasi Penguatkuasaan Tahun Baru Cina (Ops TBC) yang berakhir 9 Februari ini.

 Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, ini termasuklah di Kilometer (KM) 40 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Sungai Tong, KM30 Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Pulau Kerengga, Marang, KM40 Kuala Terengganu-Ajil, KM90 Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Gerai, Jabi dan KM74 Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

 Katanya, anggota turut ditempatkan di KM60 Kuala Terengganu-Kota Bharu, Belara, KM60 Kuala Terengganu-Kuantan Kampung Jara, Dungun, KM76 Jalan Bukit Besi-Kuala Terengganu, KM138 Jalan Jerangau-Jabor, Simpang 3 Kampung Air Putih, Kemaman, KM90 Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Nyior, Paka dan KM82 Jalan Kuantan-Kijal, Kemaman.

"Pihak JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan sekali gus bagi memastikan pengguna jalan raya memandu dengan berhemah," katanya.

Abdul Rahman turut memberitahu, bagi memastikan kelancaran lalu-lintas, pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ akan turut mengadakan penguatkuasaan secara statik dengan memasang 'tuntun mata' di 120 lokasi iaitu setiap jarak 30km di jalan utama negeri.

 Katanya, langkah itu supaya persepsi 'kemungkinan ditahan' dapat dipertingkat kepada pengguna jalan raya selaras usaha mengurangkan kadar kemalangan sempena musim perayaan tahun ini.

 “JPJ juga mengadakan pemeriksaan bas di depoh atau bengkel, di terminal-terminal bas serta mengadakan kerjasama dengan PDRM untuk menjalankan pemeriksaan urin,” katanya.

 

‘Gelanggang Tuk Wali’ bakal gamatkan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu dengan kerjasama Pertubuhan Kesenian Sri Beringin Kuala Lumpur dan Selangor akan mengadakan pementasan teater muzikal ‘Gelanggang Tuk Wali’ di Auditorium Kompleks jabatan itu pada 26, 27, 28 Februari dan 1Mac ini.
Pengarah JKKN Terengganu, Encik Zaifri Husin berkata, tujuan pementasan teater yang bakal menggamatkan panggung itu antara lain menarik minat generasi muda menghargai dan menghayati seni pentas selain menggalakkan masyarakat dan peminat seni di Terengganu meyokong pementasan teater.

Menurut beliau, teater muzikal ‘Gelanggang Tuk Wali’ karya Ismail Hassan pernah dipentaskan di Istana Budaya dan mendapat sambutan hebat.

 “Pementasan teater di Terengganu ini adalah sebahagian daripada siri jelajah oleh Pertubuhan Kesenian Sri Beringin Kuala Lumpur dan Selangor yang bergiat aktif di Kuala lumpur.

 “Ia diselaraskan oleh orang muda dan diketuai oleh saudara Joosaidy Johari yang juga merupakan pengarah teater ini.

 “Jadi, atas permintaan ramai ‘Gelanggang Tuk wali’ dibawa ke Terengganu untuk memberi peluang kepada komuniti di negeri ini menyaksikan sendiri kehebatan teater yang diterajui oleh anak-anak muda berbakat besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) semalam.

Sementara itu, Pengarah Teater ‘Gelanggang Tuk Wali’ Joosaidy Johari berkata, pementasan teater berkenaan bermula jam 2.30 petang dan 9 malam dengan tiket serendah RM10, RM20, RM30 dan RM50.

Joosaidy berkata, teater tersebut berkisar tentang kekentalan semangat juang dan jati diri seorang guru silat bernama Tuk Wali dalam mempertahankan warisan budaya bangsanya yang pada suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan generasi lama.

 “Sarat dengan mesej di sebalik dialog yang banyak menjurus kepada adat, budaya bangsa dan agama, teater ‘Gelanggang Tuk Wali’ turut menyelitkan falsafah yang tersirat melalui dialog yang humor dan bersahaja dengan bahasa yang mudah difahami,” katanya.