Halaman

20 November 2012

SMK Padang Midin terima padang sintetik taraf dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dijangka dapat terus melahirkan atlet hoki yang mampu melangkah sehingga ke peringkat antarabangsa apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan sukan itu di negeri ini, menerima padang sintetik bertaraf dunia, semalam (19 November).

Prasarana sukan di sekolah yang melibatkan kos RM3.3 juta itu merupakan antara 11 padang hoki yang sedang disiapkan di seluruh negara sebagaimana agenda kementerian menerusi pelan induk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Pengarah Kanan Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Jabatan Kerja Raya (JKR), Maman K. T George, berkata kemudahan itu bertujuan memberi kemudahan kepada murid mengembangkan bakat mereka dalam bidang sukan dalam suasana yang lebih kondusif dan selesa.

“Pembinaan padang hoki sintetik bernilai RM3.3 juta di sekolah ini bermula awal Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya bulan ini.

 “Malah saya difahamkan padang hoki ini juga sudah mendapat pengiktirafan badan induk Hoki Dunia kerana memenuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak itu, selain mendapat sijil pengiktirafan sementara selepas tiga wakil badan induk berkenaan dari negara Hong Kong, China serta Korea menjalankan pemeriksaan pada 15 November lalu ,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Padang Hoki Sintetik kepada Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad. Hadir sama, Jurutera Daerah JKR Kuala Terengganu, Encik Md Zaid Ali, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin, Penyelaras Projek Sukan Hoki, Encik Nik Rozemi Nik Mohamad dan wakil persatuan hoki negeri .

Sementara itu, Nik Rozemi berkata, kemudahan padang hoki itu bakal dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam usaha memartabatkan lagi sukan itu serta melahirkan pemain hoki yang berwibawa di peringkat negeri serta negara amnya.

Menurutnya, pelbagai perancangan akan dilakukan bermula awal tahun depan termasuklah menganjurkan kejohanan hoki peringkat antarabangsa dengan melibatkan pasukan hoki sekolah dari beberapa negara Asia.

“Dalam perkembangan terbaru, pasukan hoki wanita sedang menjalani latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan Hoki Wanita Bawah 16 Tahun peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 20 Disember depan.

 “Sehingga kini, seramai 90 pelajar giat menjalani latihan di bawah projek hoki di SMK Padang Midin dan sebahagian daripada mereka ini merupakan atlet pelapis bagi skuad Sukan Malaysia (Sukma) negeri,” katanya.

Projek hoki SMK Padang Midin ditubuhkan sejak 986 dan mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Hoki Tunas Cemerlang pada 1989 daripada Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta mencapai pelbagai kejayaan antaranya termasuklah menjadi juara Sukma Pahang Julai lalu bagi pasukan lelaki dan wanita.


PPAT sedia program BI sempena cuti sekolah

Oleh; Esah Abdullah

Pusat Bahasa Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) sediakan program bahasa Inggeris bersempena dengan cuti sekolah untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Penolong Pengurus Pusat Bahasa Terengganu, Puan Norrinal Othman berkata, program yang telah memasuki tahun ketiga itu menyediakan dua siri meliputi siri pertama pada18 hingga 29 November dan kedua bermula 2 hingga 13 Disember.

Menurutnya, ia terbuka kepada empat kelas, iaitu dua kelas bagi murid sekolah rendah dan dua kelas untuk sekolah menengah, iaitu tujuh hingga sembilan tahun satu kelas, (10 hingga 12 tahun), (13 dan 14) serta 15 dan 16 tahun satu kelas.

“Penyertaan masih dibuka. Setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 30 orang murid kerana lebih praktikal.

“Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan yang berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kelas bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1 tengahari turut menyediakan makan, sijil dan yuran pula adalah berpatutan dengan manfaat diperolehi dalam kelas hampir dua minggu itu.

Katanya, biasanya kelas yang mendapat sambutan adalah bagi murid tahun satu hingga tahun tiga. “Tidak dinafikan mereka yang pernah mengikuti program sama sebelum ini meneruskannya sebagai program susulan untuk tahap seterusnya bagi memenuhi aktiviti cuti sekolah,” katanya..

 

Gangguan bekalan air

Oleh: Suriati Ali



Syarikat Air Terengganu (Satu) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air akan berlaku membabitkan 23 kawasan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada 26 November ini.

 Gangguan itu berlaku disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian paip air oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiapkan Projek Terowong di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu.

 Antara kawasan yang terlibat, Pulau Duyung, Kampung (Kg) Seberang Tuan Chik, Kg Bukit Tunggal, Taman Semarak, Gong Kijang Kg Bukit Datu, Kg Pengkalan Arang dan Kg Pak Katak.

Antara kawasan lain Kg Batu Enam, Kg Tok Jiring, Kg Padang Air, Kg Banggol Air Lilih, Kg Wakaf Tembesu, Jalan Lapangan Terbang, Kg Telaga Batin , Kg Duyung, Kg Telok Ketapang, Seberang Takir, Kg Hulu Takir, Kg Bukit Tok Beng, Kg Batin, Kg Gong Pauh dan Kg Bukit Tumbuh.

 Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata kira-kira 25,000 akaun pengguna Satu akan mengalami gangguan bekalan air terutama pada waktu puncak sepanjang kerja-kerja pengubahsuaian itu dijalankan.

Pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi sebelum gangguan bekalan air berlaku pada tarikh tersebut.

Satu sedang berusaha untuk meminamakan kesan gangguan bekalan air ini melalui pengezonan semula agihan bekalan air ke kawasn yang terlibat.

 


JKKN kesan seni warisan yang dilupakan

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu kini giat menjelajah ke serata daerah di negeri ini untuk mengesan seni warisan negeri yang dilupakan.

Pengarahnya, Encik Zaifri Husin berkata, negeri Terengganu mempunyai banyak warisan seni budaya selain kisah dan tarian ulek mayang yang telah sinonim dengan negeri ini.

“Antara budaya yang berjaya diketengahkan termasuklah tarian anak burung baniong, rodat, tarian balai, dan tarian ‘ya abang’,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin sebahagian besar penggiat asal telah tiada atau sudah uzur, mereka mungkin masih ada anak-anak atau pengikut yang pernah membuat persembahan bersama suatu ketika dulu.

 “Kita sangat berharap dapat mengumpul bahan dan juga maklumat dengan lebih tepat, selain kajian terbaru berkaitan dengan kewujudan ‘nong sakti’ yang dikatakan popular suatu ketika dahulu,” katanya.

Katanya, hasil kajian yang telah dibuat, ia berasal dari Kuala Jengai, Hulu Dungun. Penggiat asal telah tiada (meninggal) tetapi kita berjumpa anaknya yang dapat membantu memberi sedikit-sebanyak maklumat yang diperlukan.

 Selain itu JKKN masih berharap maklumat terperinci daripada orang ramai yang mengetahui tentang kesenian di negeri ini yang telah dilupakan supaya dapat dihidupkan kembali.

 “Sekiranya tindakan tidak dilakukan sekarang, mungkin warisan tersebut terus hilang tanpa sempat diketahui generasi akan datang,” katanya. Tambahnya, pelbagai bentuk penerbitan boleh dilakukan sekiranya maklumat dan info yang lengkap diperolehi.

 

Pesawat penerbangan terus haji dijangka tiba Jumaat ini (23 November)

Jemaah haji dari Pantai Timur yang menggunakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jeddah/Madinah dijangka pulang ke tanah air pada 23 November ini (Jumaat).

Pesawat kedua membawa jemaah haji bagi penerbangan tersu itu dijadualkan mendarat di LTSM kira-kira jam 8.25 pagi.

Sebelum ini pesawat pertama yang membawa 447 jemaah haji dari Pantai Timur selamat tiba di lapangan terbang itu, kira-kira jam 9.05 pagi, pada 13 November lalu.

Sebahagian besar jemaah haji berkenaan adalah dari Terengganu manakala sebahagian lagi dari Pahang dan Kelantan. Ketibaan mereka disambut oelh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Haji Muhamad Ramli Nuh dan petugas Tabung Haji.

Tahun ini merupakan tahun ke-5 bakal haji menggunakan LTSM bagi penerbangan terus ke Tanah Suci di mana seramai 11,000 orang telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

 

Koperasi media medium jana ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pengamal media di negeri ini disaran menyertai Koperasi Media Terenggganu Berhad bagi melibatkan diri secara langsung dalam perniagaan yang mampu menjana pendapatan serta ekonomi menerusi rangkaian strategik dalam pelbagai sektor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata menerusi keanggotaan itu nanti, kumpulan media dapat menyalurkan idea bernas dan segar yang boleh diterjemahkankan bagi tujuan menambah pendapatan di kalangan ahli khususnya dalam bentuk dividen menerusi perniagaan dan pelaburan tertentu.

 “Koperasi memainkan peranan cukup besar dan penting sekiranya ia dapat digerakkan secara total dan ditadbirurus dengan bijak menerusi rangkaian kerja yang berkesan dan sistematik.

“Saya yakin dan percaya Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) yang sudah lama mengimpikan koperasi ini dapat diwujudkan dan akhirnya menjadi kenyatan pada hari ini dapat mengembangkan koperasi ini setanding koperasi lain yang maju di negeri ini,” katanya ketika berucap di Kejohanan Boling Tertutup Lima Penjuru Piala YB Dato’ Mohamed Awang Tera, di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu, Encik Zahari Omar.

 Dato’ Mohamed turut menyampaikan surat kebenaran menubuhkan Koperasi Media Terengganu Berhad secara rasmi kepada Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Sebelum itu, beliau turut menggesa Koperasi Media Terengganu Berhad supaya merebut peluang terlibat dalam bidang yang mampu memberi pulangan yang baik kepada ekonomi dan pendapatan persatuan itu seperti di sektor peruncitan dan pelancongan, sejajar dengan perkembangan semasa.

Katanya, sebagai koperasi yang baru, pihaknya akan sentiasa menyokong usaha dan aktiviti yang akan dilancarkan bagi memastikan matlamat penubuhannya dapat direalisasikan, berupaya berkembang dan membangun dengan berkesan, selain dapat memberi manfaat kepada seluruh anggotanya.

 

SK Geliga ukir sejarah

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Akhirnya penantian dan debaran setiap calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berakhir pagi semalam setelah keputusan mula diumumkan di setiap sekolah.



Walaupun bukan menjadi sekolah yang terbaik dalam negeri, namun Sekolah Kebangsaan Seri Geliga turut mengukir sejarah mereka apabila keputusan UPSR pada tahun ini amat mambanggakan berbanding sebelumnya.

Seramai 35 calon daripada 241 calon Sekolah Kebangsaan Seri Geliga yang menduduki UPSR telah berjaya memperoleh 5A. Peratusan lulus semua mata pelajaran meningkat tinggi daripada 55.0 % kepada 71.37 %.

Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Chui Wai Kin, peningkatan dalam keseluruhan mata pelajaran amat memberangsangkan terutama mata pelajaran bahasa Inggeris yang jatuh merundum pada tahun lepas sebanyak 55.83 % dan meningkat kepada 74.27 %.

“Dengan peningkatan yang banyak dalam bahasa Inggeris dapat menaikkan jumlah keseluruhan peratusan lulus berbanding jumlah peratusan lulus pada tahun sebelumnya.

“Keadaan ini amat membanggakan semua pihak terutama guru-guru yang selama ini banyak meluangkan masa dengan pelajar siang dan malam bagi memastikan anak didik mereka berjaya”, katanya ketika ditemual selepas sesi bergambar dengan pelajar yang peroleh 5A.

Hadir sama ketika keputusan UPSR diumumkan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir yang juga Yang Dipertua Sekolah Kebangsaan Seri Geliga yang turut menyampaikan hadiah jam tangan berserta wang tunai RM50 kepada setiap calon yang memperoleh 5A.


19 November 2012

Ramai berlagak jadi 'hero Islam'-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak semua umat Islam menghayati dan mengamalkan konsep kesederhanaan sebagaimana tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘ Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

 “Suasana hari ini dapat dilihat bibit perpecahan sedang berlaku di kalangan umat Islam dan ramai yang berlagak menjadi ‘hero Islam’ dengan menghukum siapa Islamik dan siapa pula tidak Islamik,” .

Menteri Besar berkata demikian di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

 Katanya, keadaan ini secara tidak disedari menimbulkan polimik tidak harmoni di kalangan masyarakat Islam sendiri dan pada masa sama mencetuskan kebimbangan kepada golongan bukan Islam.

Menurutnya, setiap hari juga melalui akhbar dan kaca televisyen dipapar berita umat Islam berbunuhan sesama sendiri serta penderitaan saudara kita yang ditindas oleh pemerintah majoriti bulan Islam.

“Islam menuntut kita menghormati penganut agama lain, biarpun Islam sebagai agama rasmi, mereka tetap diberi kebebasan membina gereja, tokong, kuil dan lain-lain tempat ibadat mengikut pegangan masing-masing,” katanya.

Beliau menyarankan agar semua mengenepikan sikap ‘pongoh’ dan mementingan diri serta berhijrah kepada wassatiyyah agar keamanan dan perpaduan dapat dikukuhkan dan usaha pembangunan dapat berjalan lancar.

 “Saya harap orang ramai khususnya pelajar dapat meluangkan masa mengunjungi pameran yang banyak memaparkan sejarah dan tokoh Islam sedunia di mana aktiviti ini mampu menjadi saluran penting bagi gerakan dakwah dengan memberi pengetahuan kepada pelbagai peringkat,” katanya

.

Tindakan Pas boleh timbulkan persepsi negatif masyarakat

Oleh: Noraini Jusoh

Tindakan Pas mengadakan solat hajat dan doa agar Umno dan Barisan Nasional (BN) dihancurkan boleh menimbulkan pelbagai persepsi negatif termasuk orang bukan Islam terhadap agama Islam.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Umno Terengganu, Haji Muhammad Ramli Nuh ketika diminta mengulas isu doa yang dipimpin adik kepada Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan Muktamar Tahunan Pas Ke-58.

Muhammad Ramli berkata, perbuatan parti yang kononnya memperjuangkan agama Islam tersebut sudah jauh tersasar daripada matlamat sebenar.

"Perbuatan Pas boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita terutamanya kepada golongan bukan beragama Islam.

"Doa sebenarnya permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Allah s.w.t yang fokus kepada kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menghancurkan orang lain,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

 Katanya, perbuatan yang dilakukan Pas bukan kaedah berdakwah yang sebenarnya tetapi lebih kepada sengaja menimbulkan pergaduhan sesama muslim serta menimbulkan pandangan serong oleh orang bukan Islam.

"Tindakan mereka ini sedikit sebanyak akan mengikis minat orang yang bukan beragama Islam mempelajari agama suci ini kerana perbuatan sedemikan seolah-olah memberi gambaran orang Islam tidak bersatu,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, doa pemimpin dan penyokong Pas yang meminta kehancuran Umno dan BN tidah ubah seperti sikap puak Khawarij yang muncul pada zaman Khalifah Ar-Rashidin keempat, Sayyidina Ali Abi Talib, yang beranggapan kalangan mereka sahaja yang betul.

"Puak ini mengganggap semua orang tidak betul selain turut mendoakan keburukan pemimpin termasuk Sayyidina Ali sendiri.

"Samalah dengan yang dilakukan oleh parti Pas yang beranggapan mereka sahaja yang betul dan Umno itu zalim,” katanya.

 Menurut beliau, Pas berpendapat doa sedemikian tidak salah kerana mendakwa mereka dizalimi oleh Umno sedangkan perkara itu tidak benar.

 Justeru, masyarakat di negeri ini khususnya dinasihatkan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang boleh merosakkan akidah Islam.

 

Masjid Rakyat pertama di Terengganu


Model Masjid Rakyat akan dibina di Kampung Lapang Kotak, Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Bukan perkara mustahil kepada penduduk Kampung Lapang Kotak,dekat Jertih, yang ingin membina sebuah masjid rakyat jika semangat kerjasama dan mufakat dapat diteruskan.

Impian itu tersemat kepada Penduduk Kampung Lapang Kotak, dekat sini bakal medapat sebuah masjid yang dibina atas daya usaha sendiri apabila projek pembinaanya berjaya dilaksanakan tidak lama lagi.

Masjid berharga RM13 juta akan dibangunkan menerusi konsep wakaf dengan hasil sumbangan daripada penderma bakal mencatat sejarah menjadi masjid pertama diusahakan oleh rakyat di negeri ini.

Pengerusi Masjid Kampung Lapan Kotak,Muhamad Ishak berkata, ketika ini pihaknya berjaya mengumpul kira-kira RM60,000 hasil sumbangan orang ramai di sekitar daerah itu.

Katanya, masjid baru yang dicadangkan iu akan dibina di atas tanah seluar 3.5 hektar yang sebahagiannya diwakafkan oleh seorang penduduk manakala selebihnya dibeli oleh jawatankuasa masjid.

Menurutnya, pembinaan masjid itu agak unik karana ia mempunyai lapan kubah yang melambangkan nama kampung itu sendiri iaitu Kampung Lapan Kotak.

Muhamad berkata, reka bentuk dan pelan bangunan masjid itu dilakukan oleh arkitek yang juga bersetuju menyumbangkan idea dan pelan pembangunan masjid terbaabit.

Beliau berkata, usaha sedang digerakkan untuk mengumpul dana bagi pembinaan masjid rakyat itu dan berharap semua pihak khusnya umat Islam di daerah Besut memberi kerjasama dan sokongan untuk menjayakan pembinaan masjid itu.