Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak semua umat Islam menghayati dan mengamalkan konsep kesederhanaan sebagaimana tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘ Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’.
“Suasana hari ini dapat dilihat bibit perpecahan sedang berlaku di kalangan umat Islam dan ramai yang berlagak menjadi ‘hero Islam’ dengan menghukum siapa Islamik dan siapa pula tidak Islamik,” .
Menteri Besar berkata demikian di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Negeri Terengganu hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.
Katanya, keadaan ini secara tidak disedari menimbulkan polimik tidak harmoni di kalangan masyarakat Islam sendiri dan pada masa sama mencetuskan kebimbangan kepada golongan bukan Islam.
Menurutnya, setiap hari juga melalui akhbar dan kaca televisyen dipapar berita umat Islam berbunuhan sesama sendiri serta penderitaan saudara kita yang ditindas oleh pemerintah majoriti bulan Islam.
“Islam menuntut kita menghormati penganut agama lain, biarpun Islam sebagai agama rasmi, mereka tetap diberi kebebasan membina gereja, tokong, kuil dan lain-lain tempat ibadat mengikut pegangan masing-masing,” katanya.
Beliau menyarankan agar semua mengenepikan sikap ‘pongoh’ dan mementingan diri serta berhijrah kepada wassatiyyah agar keamanan dan perpaduan dapat dikukuhkan dan usaha pembangunan dapat berjalan lancar.
“Saya harap orang ramai khususnya pelajar dapat meluangkan masa mengunjungi pameran yang banyak memaparkan sejarah dan tokoh Islam sedunia di mana aktiviti ini mampu menjadi saluran penting bagi gerakan dakwah dengan memberi pengetahuan kepada pelbagai peringkat,” katanya
.