Halaman

23 November 2012

SPRM puji kerajaan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

 Inisiatif kerajaan negeri memberi ruang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyampaikan taklimat mengenai langkah pencegahan dan memerangi gejala rasuah kepada Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) mendapat pujian daripada agensi itu.

Penguasa Kanan SPRM, Puan Halimah Md Sharif berkata, kesungguhan pemimpin negeri untuk menangani gejala rasuah terserlah dengan memberi ruang taklimat dan soal jawab diadakan antara SPRM dan GLC.

“Saya pergi ke negeri-negeri , semalam saya berada di Kelantan dan sebelumnya di Pahang, hanya di sini majlis didahului dengan taklimat sebelum majlis ikrar, ini yang saya puji Terengganu,” katanya di majlis Ikrar Integriti Korporat di Wisma Darul Iman semalam.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah hadir selaku tuan rumah dan mempengerusikan majlis beserta Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dari 53 Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) yang membuat ikrar serta menandatangani surat akuan.

 “Komitmen sesebuah organisasi untuk mendokong prinsip pencegahan rasuah di negara ini mampu menyekat perkara berkenaan daripada terus menular dan semua orang boleh lakukan perubahan untuk memerangi rasuah,” katanya.

Menurutnya, setakat 19 November tahun ini terdapat 41 organisasi seluruh negara telah membuat ikrar dan menandatangani surat akuan dengan SPRM bagi menyatakan kesediaan menghindari dan memerangi gejala rasuah.