Halaman

21 November 2012

Persiapan rapi Menjelang Piala Monsun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu menjalankan persediaan rapi menjelang siri terakhir Jelajah Match Racing Dunia Alpari yang memasuki edisi kelapan, penganjuran Piala Monsun, di Pulau Duyung bermula 3 hingga 8 Disember ini.

Acara dunia itu menjadi kemuncak kepada kejohanan perahu layar berprestij semakin melakar perkembangan hasil usaha penganjur dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan.

Encik Ahmad Fathil mempengerusi mesyuarat penyelarasan peringkat negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu,
Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata, penganjuran acara itu sejak lapan tahun lalu yang membawa pelayar bertaraf dunia ke Terengganu bukan sahaja memahat nama negeri di peta sukan dunia, tetapi juga melonjak industri pelancongan.


"Seperti tahun sbelumnya, perkhidmatan percuma 'Shuttle Bus' dan bot penambang disediakan untuk orang ramai dari Shahbandar ke lokasi acara antarabangsa ini berikutan kekurangan tempat letak kereta disebabkan kerja-kerja pembangunan giat dilaksanakan di situ.

"Apatah lagi begitu banyak acara disediakan untuk memeriahkan suasana dan menambahkan tarikan umum berhampiran lokasi termasuk pertandingan memancing dan pertandingan kayak kebangsaan," ujarnya semasa mempengerusi mesyuarat penyelarasan peringkat negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (19 November).


Hadir sama, Pengarah T-Best Events selaku penganjur kejohanan Piala Monsun, Dato’ Wan Hisham wan Salleh. Encik Ahmad Fathil berkata, terdapat acara sampingan seperti pertandingan memancing, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, Muay Thai, perlumbaan perahu naga, Acara Eco Terengganu, permainan tradisional, persembahan kebudayaan dan Fiesta Konsert Monsun.

"Kami telah menganjurkan Piala Monsun sejak 2005 dan tahu apa yang diharapkan. Kerjasama yang baik di antara pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dengan pelbagai agensi kerajaan adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan perancangan kita.

“Tahap komitmen yang ditunjukkan oleh agensi-agensi amat memuaskan dalam menyediakan infrastruktur sokongan, perkhidmatan sampingan, tenaga kerja dan sumber,” katanya.

Beliau berkata Piala Monsun pada kali ini juga bakal membantu melonjakkan TMT 2013 dengan promosi dan aktiviti yang akan diadakan.

Sementara itu, Dato’ Wan Hisham pula menjangkakan penganjuran kali ini akan mencatat kejayaan yang lebih besar memandangkan kempen Piala Monsun kali ini sudah lama dimulakan.

"Saya menjangkakan Piala Monsun pada tahun ini akan memberi hasil lebih baik dan berjaya memandangkan kempen kejohanan sudah lama bermula termasuk Karnival Monsun 7 Daerah pada 28 September lalu yang pastinya membantu menarik lebih ramai penonton untuk acara tahun.

"Banyak kebaikan diperolehi dengan penganjuran Piala Monsun termasuk menyumbang kepada ekonomi negeri dan membawa Terengganu dikenali lebih meluas ke serata dunia.

Pada masa yang sama juga, jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu juga meningkat saban tahun," katanya.