Seramai 400 murid sekolah rendah akan memeriahkan program YIM Kids Invent ! Terengganu di Galeri A, Pusat Dagangan Terengganu, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, 8 Disember ini (Sabtu).
Program tahun kedua anjuran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dan rakan strategik PSKT, Yayasan Inovasi Malaysia.
Pengarah Urusan PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab, berkata program yang memfokuskan kepada peserta cilik sebagai langkah menarik penglibatan golongan itu dengan aktiviti sains dan kreativiti khususnya pada musim cuti persekolahan.
“Pelbagai acara dan aktiviti yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak diatur bagi merangsang minda dan keseronokan mereka belajar sambil bermain bermula jam 9 pagi hingga 4 petang nanti.
“Perasmian program akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, kira-kira jam 4.00 petang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.
Katanya, program pertama pada tahun lalu turut menghimpunkan jumlah peserta yang sama dari kawasan sekitar Kuala Terengganu dan Marang berjaya mencapai matlamat penganjurannya.