Halaman

24 November 2012

Karnival Usahawan RISDA 2012 beri manfaat kepada usahawan

Oleh: Noraini Jusoh

Berteraskan slogan ‘Menjana Usahawan Global’ Karnival Usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2012 dan Pelancaran Kelab Usahawan RISDA (RISEC) Peringkat Nasional telah berjaya menghimpunkan ramai usahawan RISDA di bawah satu bumbung melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 November tersebut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti demostrasi gubahan bunga daun getah, pameran dan gerai jualan produk usahawan, serta taklimat agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank.

Selain itu, para usahawan khususnya dan orang ramai yang berkunjung ke karnival yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) tersebut amnya, juga dapat menyertai pertandingan karaoke, sukaneka terbuka, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik lain yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkasa bidang keusahawanan dengan mempertingkatkan penglibatan usahawan tempatan terutamnya dalam bidang pembuatan, perdagangan, perkhidmatan dan peruncitan dengan menyediakan kemudahan pinjaman perniagaan, kursus serta latihan dan bimbingan kepada para usahawan.

"Justeru melalui karnival seumpama ini contohnya, usahawan RISDA khususnya boleh manfaatkan peluang yang disediakan untuk mempromosikan produk masing-masing.

"Pihak kerajaan telah sediakan jalan serta peluang dan menjadi tanggungjawab para usahawan untuk tingkatkan usaha demi menjana pendapatan yang lebih lumayan,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian penutup karnival tersebut yang berlangsung di Galeri A, TTC, hari ini.

 Katanya, beliau difahamkan jumlah usahawan RISDA di negeri ini kira-kira 772 orang serta seramai 28,485 orang pula pekebun kecil RISDA, justeru beliau mengharapkan RISDA akan terus membimbing usahawan dikalangan rakyat Terengganu demi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan rakyatnya.

 Haji Asha’ari yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penghargaan harus diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta RISDA yang telah berjaya menganjurkan karnival yang dapat menjadi platform kepada para usahawan dalam menambah pengalaman serta meningkatkan pengetahuan untuk lebih memajukan perniagaan masing-masing.