Kerajaan negeri meminta kontraktor yang terlibat dengan pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu supaya menyegerakan projek yang dipertanggunjawabkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan lawatan kerja-kerja pembinaan pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu |
Katanya, pembangunan di kawasan itu sepatutnya dapat disiapkan April 2014, sebelum dapat beroperasi sepenuhnya atau merealisasikan sebagai Pulau Bebas cukai pada Ogos tahun sama.
“Sekarang ini sebanyak 10 projek termasuk prasarana berskala besar sedang berjalan, termasuk Kompleks Bebas Cukai, Kompleks Kastam Pulau Bayas.
“Gedung yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet juga sedang berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan bersama kontraktor berkaitan di Pulau Petang, tasik itu semalam.
Katanya, status Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya, terutama penduduk setempat.
“Kita harap ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Terengganu. Selama ini kita anggap Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik yang 'tidur' kerana hampir 30 tahun tidak ada kegiatan dan pembangunan, “ katanya.