Halaman

22 November 2012

PAS makin jauh menyimpang dari matlamat asal perjuangan

Oleh: Nurul Aziella Saberi 

Isu doa selepas solat hajat yang diimamkan adik Menteri Besar Kelantan, Nik Razi Nik Mat bersama penyokong PAS yang memohon kehancuran Barisan Nasional (BN) kecoh diperkatakan dari pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua muda.

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi daripada pihak mereka yang selama ini amat menitik-beratkan soal agama malah menjadikan isu agama yang membezakan PAS dan UMNO.

Bagi Imam Masjid Jamek Kijal , Ustaz Uzer Mohamad 44, sekeras-kerasnya membantah dan tidak bersetuju dengan perbuatan Nik Razi Nik Mat dan pengikutnya yang sanggup mendoakan pengikut BN dan UMNO supaya dimusnahkan dan dihancurkan.

Baginya yang juga merupakan Jurunikah Mukim Kijal, mereka tidak sepatutnya mendoakan kemusnahan dan kehancuran seseorang itu malah sesiapa sekali pun walaupun mereka pernah dizalimi.

“Apa yang membezakan pengikut parti BN dan pengikut parti PAS? Sama-sama sujud pada Allah s.w.t, berkiblatkan Kaabah dan mengamalkan ajaran Islam sama seperti mereka.

Namun mengapa mereka tergamak mendoakan kehancuran sama-sama muslim? “Nabi sendiri melarang umatnya mendoakan kejahatan dan kemusnahan sesuatu kaum itu walaupun mereka sentiasa dianiaya oleh kaum kafir.

“Sebagai contoh, Nabi Allah Harun as dan Nabi Musa as yang diperintah oleh Allah s.w.t supaya terus berdakwah secara lemah lembut dengan menyampaikan wahyu Allah s.w.t kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

“Mereka berdua dengan berhemah menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan semesta alam dan menzalimi Bani Israil supaya meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas menyimpang daripada ajaran Allah s.w.t dan akhirnya, mereka berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir.

“Mereka tidak pernah menggunakan kekerasan malah tidak pernah mendoakan kemusnahan dan kehancuran,” ujar Ustaz Uzer ketika ditemubual semalam.

Menjadi persoalan sekarang, banyak lagi isu lain yang boleh dimainkan pihak pembangkang mengapa isu agama menjadi bahan mainan mereka.

Sedangkan isu agama begitu sensitif tidak kira mana-mana agama inikan pula agama Islam yang majoritinya dianuti oleh rakyat Malaysia dan menjadi sebagai agama rasmi.

Jelas sekali, pihak pembangkang iaitu parti PAS sudah jauh menyimpang dari matlamat asal dan mereka kini berada di persimpangan jalan, di antara perjuangan menegakkan cita-cita Daulah Islamiah atau menegakkan sebuah kerajaan berkebajikan.