Halaman

18 November 2012

Manfaatkan kemudahan sukan : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Selepas sembilan bulan digunakan sebagai lokasi utama beriadah khususnya bagi penganjuran sukan futsal di kalangan remaja sekitar Marang dan Kuala Terengganu, Gelanggang Futsal Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu menerima kunjungan pemimpin nombor satu negeri, petang semalam (17 November).

Kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke gelanggang yang diluluskan pembinaannya oleh beliau pada tahun lalu sebelum dibangunkan dalam tempoh setahun kemudian itu sempena Kejohanan Liga Futsal Remaja Terbuka 16 Tahun Ke Bawah.

Dato’ Seri Haji Ahmad dalam ucapan ringkasnya mengucapkan syabas dengan komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan lebih 700 pegawai dan pemain dari sekitar Marang dan Kuala Terengganu yang beraksi di kejohanan tiga hari dua malam itu.

Beliau turut berharap kesemua pemain dapat meningkatkan semangat kesukanan dan tidak hanya mengharapkan kemenangan semata-mata, sebaliknya lebih menekanan nilai persahabatan dan perpaduan dalam menjalankan aktiviti berkumpulan.

“Saya mengharapkan semua peserta kejohanan ini akan terus memanfaatkan kemudahan gelanggang futsal yang disediakan kerajaan ini sekali gus mengelak daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat.

“Kerajaan Barisan Nasional akan terus mendengar suara dan pandangan remaja semua dan terus melangkah bersama-sama bagi memastikan setiap usaha pembangunan yang kita rancang dapat berjalan lancar. Selain itu, saya berharap agar semua pihak juga terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum nanti,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Haji Alias Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Beladau Kepong, Encik Hashim Abdulah dan Pengerusi Persatuan Belia Fajar Menyingsing, Encik Mohd Afendi Abdullah.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan yang diungguli oleh pasukan TFFC C dari Kampung Gong Tok Nasek selepas mengalahkan pasukan G 85A dari Kampung Bukit Payong.

Johan keseluruhan berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500 dan medal, sementara tempat kedua memenangi RM900 dan medal.  Manakala tempat ketiga, Genuine B dari Kampung Tasik pula menerima wang tunai 600 berserta medal.

Kejohanan futsal anjuran JKKK Beladau Kepong dan Persatuan Belia Fajar Menyinsing berlangsung tiga hari bermula 15 November lalu disertai 81 pasukan yang dibahagikan kepada 27 kumpulan yang melibatkan 719 pemain serta pegawai pasukan.