Halaman

21 November 2012

Piala YB Dato' Mohamed Awang Tera milik Kawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Piala pusingan Kejohanan Tenpin Boling 5 Penjuru Piala YB Dato’ Mohamed Awang Tera menjadi milik Pasukan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) B yang mengatasi sembilan pasukan lain untuk muncul juara dalam kejohanan yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu, semalam (18 November).

Hasil jatuhan 1,007 pin menerusi dua pusingan perlawanan memihak kepada Kawat B yang dianggotai Mohd Kamal Ariffin, Zubir Sulaiman, Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar dan Rosamiza Omar untuk bergelar johan keseluruhan.

Sementara naib johan pula menjadi milik pasukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) B yang diketuai Nik Fahmi Nik Nordin, Mohd Adzhar Zahari, Mohd Nasir Kassim dan Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim dengan perbezaan 130 jatuhan pin apabila sekadar meraih 877 mata.

Pasukan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) A, menerusi gandingan Pengurus Besarnya Haji Azmi Razik bersama Tengku Khairi A Rahman, Engku Mohd Hairul Nizam dan Zulkifli Yunus berjaya menghasilkan 855 jatuhan pin untuk berada di tempat ketiga.

 Kejohanan yang julung kali diadakan itu melibatkan lima agensi dan persatuan yang masing-masing diwakili dua pasukan iaitu YPU, Upen, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kawat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan & Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Rosol Wahid. Juara kejohanan berjaya membawa pulang wang tunai RM400 beserta piala pusingan, tempat kedua RM300 dan ketiga RM200.