Halaman

21 November 2012

UMT bakal raikan kejayaan 2080 pelajar

Oleh :Noraini Jusoh

UMT akan meraikan kejayaan 2080 pelajar sempena Majlis Konvokesyen kali ke-10 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bakal berlangsung 24 November sehingga 25 November ini bertempat di Dewan Sultan Mizan UMT.

Penolong Pendaftar UMT, Munira Iskandar berkata, majlis konvokesyen selama dua hari tersebut akan terbahagi kepada empat sesi.

“Sesi penganugerahan pada hari pertama yang bermula jam 8 pagi melibatkan enam program iaitu Doktor Falsafah, Sarjana Sains, Sarjana Sains (Akuakultur), Sarjana Pengurusan (Zon Pantai Bersepadu), Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar), dan Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan dan Pemakanan).

“Pada sebelah petang bermula jam 2 majlis penganugerahan sesi kedua diteruskan dengan program Sarjana Muda Sains (Kimia Analisis dan Persekitaran), Sarjana Muda Sains (Sains Biologi), Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim), Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim), Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan), Sarjana Muda Pengurusan (Polisi dan Sekitaran Sosial) dan Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Akuakultur),” ujarnya.

Katanya, pada hari kedua pula majlis penganugerahan sesi ketiga akan melibatkan pelajar dari program Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian), Sarjana Muda Sains (Sains Kimia), Sarjana Muda Sains Gunaan (Fizik Elektronik dan Instrumentasi), Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran), Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Teknologi Lepas Tuai), Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) dan Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan).

Tambah beliau, pelajar dari program Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti), Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan), Sarjana Muda Sains (Matematik Komputasi), Sarjana Muda Ekonomi (sumber Alam), Sarjana Muda Sains (Biologi Marin), Sarjana Muda Sains (Sains Samudera), Sarjana Muda Kaunseling, serta Diploma perikanan akan menerima penganugerahan masing-masing dalam sesi keempat.

Katanya, bersempena majlis konvokesyen pada kali ini Tuanku Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyempurnakan penganugerahan pada sesi pertama majlis tersebut. Katanya, Pesta Konvo turut diadakan sempena majlis konvokesyen tersebut selamat empat hari bermula 22 November ini.

Pelbagai acara menarik yang menanti pengunjung termasuk persembahan kumpulan nasyid Hijaz pada malam terakhir pesta konvo tersebut berlangsung.