Halaman

22 November 2012

MBNT tubuh sukarelawan belia

Oleh; Esah Abdullah

Belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dipelawa untuk mendaftar sebagai sukarelawan belia sebagaimana di bawah Akta Belia 2007.


Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) Encik Mat Yusof Mat Ali (gambar)berkata, mulai tahun depan.pasukan sukarelawan belia mula diwujudkan dalam usaha membantu kerajaan dan badan bukan kerajaan menjalankan pelbagai aktiviti kesukarelawan di negeri ini

“Kita akan menubuhkan Sekretariat Sukarelawan Belia Terengganu (SSBT) di pejabat MBNT bagi memudahkan belia mendaftar dan seterusnya menyelaras aktiviti-aktiviti kesukarelawan,” katanya.

Menurutnya, penubuhan sukarelawan itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan tahun 2013 sebagai tahun sukarelawan dalam usaha memudahkan penyelarasan aktiviti kesukarelawan di peringkat negeri dapat dilaksanakan.

``Usaha berkenaan juga bertujuan meningkatkan tahap kesedaran kesukarelawan dan peranan mereka kepada masyarakat terutama ketika berlaku sebarang bencana,’’ katanya.

Tambahnya, melalui SSBT yang bertindak sebagai perancang, mengurus dan memantau aktiviti kesukarelawan di peringkat negeri selain bertanggungjawab mengemaskini pengkalan data sukarelawan seluruh negeri. Selain itu SSBT turut mengadakan promosi bagi membolehkan seramai mungkin pendaftaran sukarelawan belia di peringkat daerah dan negeri.

 “Kita merancang mengadakan sekurang-kurangnya 30 aktiviti di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun depan,” katanya.

Antaranya seperti program jalinan kasih (warga emas/membaiki kediaman), bengkel pemantapan sukarelawan belia Terengganu (pertolongan cemas/ menyelamat di air/kebakaran), perkhemahan, sukarelawan haji dan skuad banjir.