Halaman

20 November 2012

JKKN kesan seni warisan yang dilupakan

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu kini giat menjelajah ke serata daerah di negeri ini untuk mengesan seni warisan negeri yang dilupakan.

Pengarahnya, Encik Zaifri Husin berkata, negeri Terengganu mempunyai banyak warisan seni budaya selain kisah dan tarian ulek mayang yang telah sinonim dengan negeri ini.

“Antara budaya yang berjaya diketengahkan termasuklah tarian anak burung baniong, rodat, tarian balai, dan tarian ‘ya abang’,” katanya.

Menurutnya, walaupun mungkin sebahagian besar penggiat asal telah tiada atau sudah uzur, mereka mungkin masih ada anak-anak atau pengikut yang pernah membuat persembahan bersama suatu ketika dulu.

 “Kita sangat berharap dapat mengumpul bahan dan juga maklumat dengan lebih tepat, selain kajian terbaru berkaitan dengan kewujudan ‘nong sakti’ yang dikatakan popular suatu ketika dahulu,” katanya.

Katanya, hasil kajian yang telah dibuat, ia berasal dari Kuala Jengai, Hulu Dungun. Penggiat asal telah tiada (meninggal) tetapi kita berjumpa anaknya yang dapat membantu memberi sedikit-sebanyak maklumat yang diperlukan.

 Selain itu JKKN masih berharap maklumat terperinci daripada orang ramai yang mengetahui tentang kesenian di negeri ini yang telah dilupakan supaya dapat dihidupkan kembali.

 “Sekiranya tindakan tidak dilakukan sekarang, mungkin warisan tersebut terus hilang tanpa sempat diketahui generasi akan datang,” katanya. Tambahnya, pelbagai bentuk penerbitan boleh dilakukan sekiranya maklumat dan info yang lengkap diperolehi.