Halaman

19 November 2012

Empat sekolah Hulu Terengganu terbaik UPSR

Oleh: Aida Abd Rahman

Empat sekolah rendah di Hulu Terengganu tersenarai sebagai 10 sekolah yang merekodkan pencapaian terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012.

Sekolah yang mendahului pencapaian GPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu (1.12), SK Kemat (1.23), SK Teris (1.34) dan SK Kuala Berang (1.37). Sementara SMK Chalok (1.23), SK Kampung Bari Sungai Tong (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Rantau Petronas,Kemaman (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52).

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin, berkata semua sekolah yang terletak di luar bandar tersenarai sebagai sekolah terbaik berdasarkan nilai GPS berikutan jumlah pelajarnya yang kecil berbanding sekolah terletak di dalam bandar.

“Murid Tahun Enam yang menduduki UPSR di sekolah luar bandar tidak ramai berbanding sekolah di dalam bandar. Oleh yang demikian, pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah khususnya dapat memberi lebih tumpuan kepada murid yang disasarkan mampu mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan itu.

“Oleh itu, sekolah yang kecil dengan jumlah muridnya yang kecil pastinya mempunyai potensi besar bagi menyumbang prestasi dan pencapaian terbaik kepada GPS dan juga Gred Purata Negeri (GPN) secara keseluruhannya,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, pagi ini.

 Hadir sama, Ketua Sektor Akademik JPNT, Haji Zubir Embong.

Encik Zakaria berkata, SK Tapu umpamanya hanya mempunyai 20 murid yang menduduki UPSR dengan 16 daripada mereka berjaya memperolehi keputusan cemerlang yang mencatat A bagi semua mata pelajaran.

Sementara itu, Katanya, SK Paya Bunga yang terletak dalam Bandar Raya Kuala Terengganu pula merekodkan dua daripada 10 murid yang mengambil peperiksaan itu mencapai keseluruhan A bagi mata pelajaran yang diambil.

 “Oleh itu, GPS berkenaan bukanlah menjadi kayu ukur utama yang menggambarkan bahawa pencapaian sekolah di bandar menurun sebaliknya situasi itu perlu dinilai daripada pelbagai aspek termasuk bilangan calon murid,” katanya.

Katanya, pencapaian calon cemerlang (semua A) di bandar dan luar bandar pada tahun ini mengalami penurunan masing-masing sebanyak 2.23 peratus dan 2.05 peratus.

Walau bagaimanapun, peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik (minimum C tidak termasuk semua A) di kedua-dua lokaliti berkenaan meningkat, masing-masing 1.11 peratus dan 2.18 peratus.

Menurutnya, daripada pencapaian itu juga menunjukkan pencapaian baik bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu sebanyak 1.0 peratus.

“Begitu juga dengan dengan peratusan calon yang memperolehi semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum masing-masing telah meningkat sebanyak 0.93 peratus dan 1.49 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa tahap penguasaan minimum calon di bandar adalah lebih berbanding calon di luar bandar dengan beza sebanyak 0.56 peratus,” katanya.

Encik Zakaria berkata, peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan dapat juga dilihat menerusi nilai Gred Purata (GP) yang mengurang iaitu 0.06 bagi bandar dan 0.07 bagi luar bandar, sementara jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar bertambah sebanyak 0.01 mata nilai GP.