Halaman

24 November 2012

UMT mampu bersaing di peringkat global-Sultanah Terengganu

Oleh; Esah Abdullah


Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah melahirkan keyakinan dengan keupayaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk bersaing di peringkat global dalam era globalisasi yang kian mencabar dan iklim ekonomi dunia yang semakin kompetitif.

 Titah baginda, bagi memperkukuhkan daya saing graduan,  UMT perlu berusaha untuk melahirkan lebih ramai modal insan  yang kreatif dan inovatif melalui program-program akademik yang menjurus kepada pembangunan modal insan.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT bertitah demikian di majlis Konvokesyen UMT Ke-10 di Dewan Sultan Mizan UMT hari ini. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu.



Hadir sama Menteri Besar Dato’Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Pro-Canselor UMT,  Tan Sri Samsudin Osman dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan beserta isteri.

“Beta  bangga apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengiktiraf Institut Oseonografi dan Sekitaran (INOS) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi yang ketujuh dan berharap melalui pengiktirafan ini  INOS dapat melonjakkan keupayaan dan pencapaian dalam bidang tujahan kelestarian ekologi marin selain menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan UMT.


“Beta turut merasa bangga dengan pencapaian pelajar UMT yang menyerlah bukan sahaja dalam akademik malahan dalam kemahiran insaniah dan kejayaan mereka dalam beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa amat  menyerlah,” titah baginda.

Titah baginda, selain penekanan kepada aspek pengajaran dan penyelidikan, UMT harus terus berusaha memperkasakan kapasiti dan kualiti pegawai akademik, pegawai pengurusan dan profesional serta kakitangan sokongan  agar mengamalkan budaya kerja cemerlang yang menjadi visi dan misi universiti sebagai asas penghasilan perkhidmatan yang bermutu tinggi.

 “Dalam situasi masyarakat kini yang berhadapan dengan krisis integriti, pembudayaan amalan integriti perlu diperkukuhkan bagi menjamin keberkesanan dan kebolehpercayaan proses pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat di samping mampu memperteguhkan keperibadian pelajar sebagai modal insan  yang jujur dan berakhlak mulia,” titah baginda.



Tuanku Canselor UMT itu kemudiannya merakamkan setinggi tahniah kepada graduan di atas kejayaan menamatkan pengajian dan juga semua ibu bapa, penjaga dan keluarga yang mengharungi  pelbagai rintangan mendidik dan membesarkan anak-anak  dalam suasana  semakin mencabar ini.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan 2,080 orang graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing, iaitu 102 menerima sijil  diploma, 1866 menerima ijazah sarjana muda manakala 99 orang penerima ijazah sarjana dan 13 orang menerima ijazah doktor falsafah.