Tuah anak Terengganu, Hairuddin Omar berjaya membawa Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia edisi ke-85 setelah menang tipis ke atas Terengganu 2-1 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Penyerang Vateran itu membuktikan dia membawa tuah kepada pasukan bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah apabila jaringannya pada pada minit ke-86 membuatkan penyokong skuad Penyu tergaman kaku.
Di hadapan lebih 70,000 penyokong kedua-dua pasukan, Hairuddin melengkapkan kemenangan dengan penyudah lipatan gunting ke sudut kanan gawang Terengganu hasil hantaran lintang daripada pemain tengah, Muhamad Shukor Adan.
Walaupun anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu mara lebih awal dengan kelebihan satu gol menerusi Mohd. Ashaari Samsudin pada minit ke-59, ia tidak bertahan lama apabila skuad Hoben Jang Hoben menyamakan kedudukan hasil jaringan S.Kunalan pada minit ke-81.
Lebih membanggakan, pemain yang berasal dari Setiu itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.
Ia merupakan kejayaan kali ketiga buat dirinya menjulang trofi berprestij itu, yang sebelum ini bergelar juara ketika bersama Kelantan pada 2010 dan Negeri Sembilan pada 2009.
Kejayaan sebentar tadi merupakan kali ketiga buat Negeri Sembilan bergelar juara Piala Malaysia selepas memenanginya pada tahun 1948 dan 2009.
Menyedari ramai yang kecewa dengan jaringan kemenangannya, Hairuddin turut memohon maaf kepada semua penyokong skuad Penyu yang menyaksikan perlawanan dan yang berada di Terengganu.
"Saya meminta maaf kepada mereka. Saya faham mereka tentu kecewa dengan kekalahan ini. Saya harap penyokong Terengganu tidak membenci saya.
"Saya harap mereka faham saya adalah pemain Negeri Sembilan dan komited dengan pasukan yang saya wakili," katanya.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menyampaikan Piala Malaysia kepada pasukan Negeri Sembilan.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan dan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek.