Halaman

29 October 2011

TIEP sedia kemudahan kelas pertama dunia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong yang menjadi gelanggang beberapa kejohanan ekuestrian, mempunyai kemudahan untuk pertandingan tersebut kelas pertama bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, Pengarah Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), Ian William, berkata pihaknya mencadangkan lebih banyak kejohanan bertaraf dunia diadakan di TIEP pada masa depan.

Beliau berkata, banyak negara berminat menganjurkan kejohanan ekuestrian yang bertaraf dunia, tetapi mereka tidak mampu menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan.

“Terengganu memiliki kemudahan ekuestrian kelas pertama bertaraf dunia di mana ia amat jarang dimiliki negara lain.

“Trek kejohanan kuda lasak yang terdapat di TIEP mendapat pujian peserta yang menyertai beberapa kejohanan yang diadakan di sini sebelum ini,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di TIEP baru-baru ini.

Selain kejohanan Sultan Mizan Cup yang menjadi acara tahunan di TIEP, ia juga pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan FEI dua tahun lalu dan disifatkan antara tuan rumah terbaik kejohanan tersebut.

Ian William berharap pihak berkenaan mengurus TIEP dengan baik bagi memastikan ia terus menjadi antara gelanggang ekuestrian terbaik di dunia.