IMPIAN kesebelasan utama pasukan Penyu untuk menamatkan kemarau panjang selama 10 tahun bagi merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2001, hanya sekadar angan-angan sekiranya tiada semangat juang yang tinggi pemain.
Tonggak pasukan Terengganu, Marzuki Yusof menyifatkan, perjuangan memburu kejuaraan harus diiringi dengan semangat juang yang tinggi sekiranya ingin melihat piala paling berprestij dalam arena bola sepak tanah air hinggap di bumi penyu itu.
Bagi Marzuki, kejayaan yang dikecap dalam beberapa siri perlawanan sebelumnya termasuk peringkat suku akhir ketika menentang The Red Wariors dan separuh akhir ketika bertemu Selangor, belum cukup untuk dijadikan sandaran bagi memastikan keputusan sama bakal dicatatkan dalam perlawanan akhir yang disifatkan amat getir itu.
Marzuki berkata, perlawanan akhir pada 29 Oktober nanti menjadi titik penghabisan perjuangannya bersama pasukan Terengganu dalam siri kejuaraan Piala Malaysia musim 2011.
“Ibarat askar di medan perang, kami akan berjuang habis-habisan, selagi wisel penamat belum ditiupkan, selagi itulah kami akan berjuang.
“Misi kami bukan setakat menempah tiket ke perlawanan akhir, sebaliknya membawa pulang Piala Malaysia, itulah harapan dan impian kami, bukan sahaja pemain, tetapi untuk rakyat negeri ini,” katanya.
Marzuki berkata, pesanan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim agar rakan sepasukannya mengekalkan taktik menyerang sehingga tempoh 90 minit berakhir akan menjadi pedoman penting buatnya, biarpun ketika itu mungkin Terengganu sudah mendahului pasukan lawan.
Katanya, mendahului lawan melalui gol awal memberi suntikan semangat buat pasukan seperti yang pernah dilakukan dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.
Ketika ditanya tugasnya sebagai benteng pertahanan utama Marzuki berkata, amanah itu akan dipikul dengan sebaiknya bagi memastikan kemaraan Negeri Sembilan berjaya disekat.
Marzuki berkata, kerjasama rakan sepasukan penting bagi memastikan setiap sudut padang dikuasai pemain berjersi putih hitam itu.