Halaman

28 October 2011

PDK Jertih akan mengadakan Hari Terbuka

Oleh: Mohammad Ishak




Kelas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih akan mengadakan Hari Terbuka yang akan berlangsung sehari di kawasan premis berkenaan di Kampung Cabang Tiga, dekat sini, pada 1 November ini.

Pengerusinya, Haji Ayub Jusoh berkata, program itu bertujuan memberi peluang pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) yang belajar di kelas itu mempamerkan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Katanya, sempena program itu orang ramai dan komuniti setempat berpeluang menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk persembahan khas oleh kanak-kanak terbabit,pemeran kerja tangan oleh pelatih, dan tayangan klip video mengenai penubuhan kelas PDK berkenaan.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar akan merasmikan program berkenaan.

Katanya, sempena majlis itu juga Zuhaimi akan melakukan upacara perasmian bangunan baru kelas berkenaan.

PDK Jertih ditubuhkan 15 tahun lalu pada awalnya mempunyai 8 pelatih tetapi kini meningkat kepada 40 orang hasil usaha jawatankuasa dan petugas memberi penerangan kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menghantar ke kelas terbabit.

Beliau berkata, kanak-kanak yang menerima latihan di PDK agak beruntung kerana mereka bukan sahaja mendapat kemahiran dan ilmu malah pelatih terbabit juga turut menerima elaun bulanan kehadiran belajar di kelas.

Katanya, hari terbuka itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai terutama pemimpin komuniti dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain mengetahui fungsi dan peranan PDK dalam menjaga kepentingan kanak-kanak OKU.