PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh mengingatkan barisan pemain Skuad Penyu agar tidak memikirkan soal ganjaran, sebaliknya perlu memberi seluruh tumpuan dalam misi untuk memburu juara Piala Malaysia musim ini yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor, 29 Oktober ini.
Menurutnya, apa yang lebih penting kini adalah pemain perlu terlebih dahulu mencatat kemenangan bagi memberi penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang banyak memberi sokongan kepada pasukan selama ini.
“Jika perkara berkaitan insentif diuar-uarkan kepada umum, dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan barisan pemain memandangkan perjuangan sebenar mereka masih belum selesai.
“Sebaliknya, apa yang paling penting adalah pemain perlu terlebih dahulu bermain dengan bersungguh-sungguh dan selepas berjaya meraih kemenangan baru kita bercakap soal insentif dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mengambil jalan selamat dengan tidak membuat sebarang janji berkaitan insentif kepada pemain Terengganu walaupun berjaya menempah tiket ke pentas final bagi memastikan pemain tidak hilang tumpuan.
Ditanya peluang Terengganu dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan Sabtu ini, beliau optimis skuad kendalian jurulatih berjiwa besar, Irfan Bakti Abu Salim itu mampu mencipta kejutan, sekali gus peluang terbaik untuk tamatkan kemarau 10 tahun.
Bagaimanapun, beliau tetap mengakui kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara musim ini dan apa yang diharapkan agar Skuad Penyu akan memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan nanti.