Halaman

23 October 2011

Penjawat awam terima bonus pada Disember ini

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu bersetuju membayar bonus setengah bulan dan minima RM500 kepada setiap penjawat awam, termasuk agensi dan badan berkanun di bawah kerajaan negeri bermula Disember ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pemberiaan bonus kepada 16,000 penjawat awam itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM18 juta.

Katanya, kerajaan negeri menjangkakan pemberian bonus ini akan dibayar pada akhir Disember ini, iaitu sekali dengan tarikah gaji bulan berkenaan.

“Langkah itu diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada perbentangan bajet lalu, yang memberikan bonus sama kepada kakitangan kerajaan Persekutuan.

“Bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri,” katanya kepada sidang media selepas Majlis Penyampaian Komputer Riba Kepada Guru Tahun Enam, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (22 Oktober).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman ; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Seramai 2,642 guru Tahun Enam yang membabitkan peruntukan RM3.5 juta menerima komputer riba yang disampaikan sendiri Dato’ Seri Haji Ahmad.