Halaman

26 October 2011

JKKK DUN Kuala Berang cipta pulut kuning terpanjang


Oleh: Mastura Jamaluddin

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Kuala Berang merampas kembali rekod pulut kuning terpanjang di Malaysia melalui Malaysian Book of Record selepas mencipta pulut kuning sepanjang 487.5 meter, mengatasi rekod terdahulu 400 meter yang dibuat sebuah persatuan di Perak.

Sebanyak 30 buah JKKK di kawasan berkenaan bergabung bagi menghasilkan pulut kuning tersebut yang menggunakan lebih 1,200 kilogram beras pulut dan 90 biji kelapa.

Pulut kuning itu dibuat sempena Karnival Usahawan Hulu Terengganu anjuran MARA dengan kejasama Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang diadakan selama 11 hari bermula 24hb Oktober hingga 4hb November ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, YBM Dato’Haji Tengku Putera Tengku Awang mewakili YAB Menteri Besar Terengganu.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan UMNO Bahagian Hulu Terengganu , Haji Shamsaiful Mahari, berkata sebanyak 70 buah gerai yang menjual pelbagai barangan dibuka oleh usahawan tempatan dan luar seperti Kuala Lumpur dan Pahang sepanjang karnival itu.

“Kami juga mendapat kerjasama daripada agensi-agensi lain seperti Hospital Hulu Terengganu yang mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan sekolah yang menyediakan khidmat catering bagi makan minum.

“Tujuan utama karnival ini dianjurkan ialah bagi merapatkan hubungan antara agensi-agensi ini dengan peniaga-peniaga supaya kita dapat bergabung dalam setiap kepakaran yang kita ada,” katanya pada majlis perasmian karnival tersebut.

Turut hadir ialah ADUN Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail; Timbalan Pengarah MARA Negeri Terengganu, Encik Mohd Tahir Mohd Jusoh dan wakil-wakil jabatan kerajaan serta pemimpin setempat.