Halaman

23 October 2011

17,000 jentera wanita digerak keseluruh negeri.

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu melaksanakan Semarak Rakyat Siri Kedua (SRSK) dengan mengerakkan 17,000 jentera Juara Rakyat (JR) di seluruh negeri.

Ketuanya, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, program bermula Ogos lalu itu akan diteruskan hingga ke tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Sebenarnya, jentera Wanita sentiasa bergerak ke akar umbi dan mendampingi masyarakat tidak kira masa sama ada untuk menghadapi pilihan raya atau sebaliknya,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, program ziarah warga emas, orang kurang upaya dan orang sakit serta sembang petang diadakan di kampung-kampung dalam usaha mengeratkan ikatan silatulrahim antara penduduk dan pemimpin parti.

“Keakraban yang terjalin memberi peluang kita menjelaskan isu berbangkit serta menyampaikan maklumat parti dan kerajaan,” katanya.

Menurutnya berdasarkan tindak balas yang diterima terutama di kawasan yang dikuasai pembangkang, BN mampu menguasai empat daripada lapan kerusi yang dimenangi Pas pada PRU12 lalu.

“Undi golongan wanita mampu menyumbang kemenangan BN dalam pilihanraya berdasarkan jumlah pengundi wanita ialah 51 peratus berbanding 49 peratus pengundi lelaki,” katanya.

Selain itu wanita berazam untuk mempertahankan semua kerusi yang dikuasai BN dan merampas semua lapan kerusi yang ada di tangan pembangkang.