Halaman

23 October 2011

Ramah mesra Menteri bersama IPD Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Bertempat di Dewan PDRM Bukit Mentok Chukai, Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman Mohd Hisham Zubir bertemu warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kemaman dalam majlis ‘Ramah Mesra Menteri Bersama IPD Kemaman’, baru-baru ini.

Pertemuan tersebut membuka ruang ke arah mewujudkan hubungan lebih erat lagi di antara PDRM Kemaman dengan Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut YB Dato’ Seri Ahmad Shabery, orang ramai perlu menghormati dan menyanjung pengorbanan polis selama ini yang telah bertungkus-lumus menjaga keamanan negara kerana tanpa mereka, negara kita tidak akan mencapai kemajuan seperti sekarang ini.

Seramai 350 anggota polis menjaga keamanan 300,000 penduduk di Kemaman dengan penuh dedikasi tanpa mengenal erti penat dan lelah.

“Belanjawan 2012 adalah yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat di negara kita, sebagai contoh kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam seperti polis daripada umur 58 tahun kepada 60 tahun.

“Perlanjutan usia tempoh persaraan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru.

“Justeru itu, pegawai dan anggota polis yang telah lama berkhidmat dapat meneruskan lagi bakti mereka kepada negara,” katanya.



Pada majlis itu juga, YB Dato’ Seri Ahmad Shabery menyampaikan sumbangan bantuan khas’ kepada pegawai dan anggota-anggota PDRM Kemaman yang memerlukan bantuan.

Sebanyak 142 cermin mata disumbangkan Parlimen Kemaman dan beberapa lagi bantuan lain seperti kerusi roda dan mesin rumput untuk anggota keselamatan.

Beliau turut menyumbangkan sekor lembu untuk warga PDRM Kemaman untuk dikorbankan pada Hari Raya Aidil Adha yang akan diambut tidak lama lagi.