Halaman

29 October 2011

Hadi janji bawa pulang trofi Piala Malaysia

Abdul Hadi Yahaya berikrar tidak mahu menghampakan penyokong Terengganu yang menaruh harapan tinggi kepadanya untuk memberikan persembahan paling cemerlang pada final Piala Malaysia, Sabtu ini.



Penjaring terbanyak Liga Super dan Piala FA itu berkata, dia akan turun dengan misi untuk mencipta sejarah gemilang dan membawa pulang trofi.

Malah Hadi, yang meledakkan 25 gol musim ini juga sudah mengukir sejarah peribadi apabila bakal beraksi di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Hadi menegaskan, hanya persembahan terbaik bersama rakan-rakan sepasukan di Stadium Shah Alam nanti dapat menebus aksinya yang agak hambar sebelum ini.

Saya akan turun habis-habisan, Sabtu ini untuk membawa pulang Piala Malaysia ke Terengganu selepas 10 tahun.

"Saya juga mahu menebus dan memperbaiki kelemahan yang ditunjukkan dalam perlawanan lalu,'' katanya, baru-baru ini.

Mengenai prestasinya ketika menyingkirkan Selangor di separuh akhir, Hadi mengakui tertekan kerana gagal menjaringkan gol.

"Saya memang tertekan ketika itu tetapi bukan tertekan kerana penyokong atau pasukan Selangor, sebaliknya kerana gagal menjaringkan gol dalam Piala Malaysia,'' katanya.

Ditanya mengenai peluang Terengganu pada final kali ini, Hadi berkata, ia adalah 50-50, namun dia dan rakan-rakan sepasukan tetap akan berhati-hati apabila berdepan Negeri Sembilan.

Katanya, Negeri Sembilan adalah pasukan yang berbahaya kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman antaranya Hairuddin Omar serta Sukor Adan.

"Kami tidak boleh terleka kerana ia hanya akan mengundang padah seterusnya menyebabkan Terengganu kempunan merangkul juara,'' katanya lagi.