Halaman

25 October 2011

Hasrat Azlas ziarah kubur bapa tercapai

Oleh FAUZI MOHD

TIADA apa yang mampu diingat Azlas Jaafar dalam usia seawal tiga tahun ketika mengunjungi pusara pahlawan Bukit Kepong di Muar, Johor bersama arwah ibunya, Seri Ahmad.

Sentuhan kasih sayang seorang anak terhadap bapanya, Konstabel Jaafar Hassan hanya melalui gambar 'hitam putih' yang telah meninggalkan nama sebagai pahlawan negara yang terkorban dalam tragedi berdarah Bukit Kepong.

Dalam usia 62 tahun, itulah kali pertama Azlas menyentuh ukiran nama bapanya pada batu nisan di Pusara Anggota Polis Peristiwa Bukit Kepong di Bukit Kepong, Jumaat lalu.

Kunjungan anak tunggal itu bersama 10 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu disertakan dengan majlis tahlil ringkas dan bacaan Surah Yasin.

Azlas ketika dihubungi berkata, sudah terlalu lama dia menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Bukit Kepong dan perkara itu pernah dibincang bersama beberapa pihak lain, namun tidak kesampaian.

"Walaupun tertangguh beberapa kali, dengan sokongan Pemuda UMNO dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu akhirnya saya sampai jua ke sini.

"Selama ini bukan saya tidak mahu pergi. Teringin sangat nak pergi. Sejak berpindah ke Terengganu 30 tahun lalu, susah untuk ke sana, lagipun saya orang susah," katanya yang kini menetap di Kampung Perpindahan Cendering, Kuala Terengganu.

Azlas yang tidak berkerja itu tinggal bersama ibu saudaranya yang juga kakak
kepada Allahyarham Jaafar, Minah Mohamad, 85 dan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, waris pejuang Bukit Kepong perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kesedihan mereka akibat dihina pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

"Kita mahu zahirkan kepada mereka khususnya Azlas bahawa masih ramai individu dan pertubuhan yang prihatin dan mahu membela keluarga mereka.

"Tatkala waris mereka dihina dan dituduh sebagai tali barut penjajah, masih ada orang lain yang tampil memberi sokongan kepada mereka," katanya.