Halaman

25 October 2011

Pantau kawasan elak virus

Oleh: Suriati Ali

KERAJAAN Negeri meminta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Jabatan Kesihatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung memantau tahap kebersihan kawasan sekitar sekolah, khususnya sekolah yang terletak di luar bandar.

Ia susulan tujuh murid perempuan dan empat murid lelaki Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dimasukkan ke hospital akibat virus Leptospirosis atau kencing tikus baru-baru ini.

Selain 11 murid tahun satu hingga lima itu, 16 orang lagi penduduk Orang Asli kawasan berkenaan turut dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan Hospital Hulu Terengganu setelah terkena virus terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihak terbabit perlu memberi penjelasan dan penerangan kepada guru serta komuniti setempat berkaitan bahaya virus kencing tikus yang boleh membawa maut ini.

“Kita memandang serius insiden yang menimpa ini dan menyeru pihak yang terbabit dapat membuat tindakan sewajarnya,” katanya.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada penggunaan air sungai di Sungai Berua berhampiran sekolah itu yang berkemungkinan dicemari kencing tikus.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang dijangkiti wabak itu telah dibenarkan pulang.

Katanya, sehingga kini terdapat 109 murid Orang Asli yang menduduki tahun satu hingga lima di SK Sungai Berua dan kawasan itu didiami 384 Orang Asli membabitkan 88 buah keluarga