Halaman

26 October 2011

17 SBT jadi sekolah angkat UMT


Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 17 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di negeri ini terpilih mengikuti program latihan pengurusan pusat sumber anjuran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu.



Timbalan Naib Canselor Akademik Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, penekanan latihan khusus kepada guru dan pengawas pusat sumber bagi mendalami urusan perkhidmatan, pengurusan dan pemerosesan bahan.

Katanya, melalui program ini, perkongsian maklumat mengenai sistem pengurusan sumber komputer boleh dijadikan panduan kepada pusat sumber sekolah di seluruh negeri.

“Program latihan dua hari ini turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai scenario penggunaan perpustakaan di university serta memotivasikan mereka dalam menjadikan budaya mencintai ilmu dalam kehidupan mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutup program Latihan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Angkat di PSNZ UMT semalam.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Terengganu, Encik Alias Taib dan Timbalan Ketua Perpustakaan PSNZ, Encik Atip Ali.

Pihak UMT bercadang untuk meneruskan program iniserta menambah bilangan sekolah pada tahun akan datang memandangkan ia memberi manfaat besar kepada guru, pelajar dan sekolah terbabit.

“UMT membuat lawatan susulan ke sekolah-sekolah yang terbabit dan beberapa faktor memain peranan dalam pengoperasian pusat sumber,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga mengesan kira-kira 90 peratus guru sumber media dan pengawas pusat sumber memerlukan latihan berkaitan bagi mengendalikan pusat berkenan dengan lebih tersusun dan terancang.