Halaman

26 October 2011

Pelajar DUN Chukai terima e-Book


Oleh: Nurul Aziela Saberi

Seramai 1,132 murid Tahun 4 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai menerima e-Book secara percuma dalam satu majlis di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, baru-baru ini.

Penyerahan e-book itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera.

Menurut Puan Azizah Yusof ibu kepada pelajar Tahun 4 Hairul Ezzwan Mohd Perak dari SK Seri Iman, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah membahagikan e-Book kepada pelajar di negeri ini, termasuk anaknya yang baru belajar Tahun 4.

“Ini jelas membuktikan usaha kerajaan untuk menjadikan pelajar negeri ini golongan intelektual dan usaha ini semakin berjaya kerana mendapat sambutan daripada semua pihak terutama budak-budak sekolah,” katanya.

Katanya, rakyat Terengganu, terutama para pelajar perlu bersyukur kerana mereka diberi pelbagai kemudahan oleh kerajaan negeri dari bangku sekolah hinggalah peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Antara sekolah yang terlibat ialah SK Seri Geliga, SK Kampung Tengah, SK Mak Lagam, SK Chukai, SK Sultan Ismail dan SK Seri Iman.