Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu akan mengadakan program jualan terus sempena Aidiladha yang diadakan di pasar tani terpilih di seluruh negeri ini bermula pada 3 hingga 5 November ini.
Pengarah Fama, Encik Hasan Jusoh berkata, program itu diadakan bagi membantu orang ramai mendapatkan bekalan yang secukupnya untuk musim perayaan dengan harga 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.
Menurutnya, pasar tani yang terlibat adalah Pasar Tani Mega, Padang Hiliran, Pasar Tani Mega Kerteh, Kemaman dan Pasar Tani Jerteh, Besut.
“Melalui jualan terus ini, ia dapat membantu orang ramai mengurangkan kos membeli dan mendapat bekalan dengan secukupnya serta memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang pada musim perayaan.
“Dengan langkah ini, ia membantu kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga barang semasa musim perayaan dan menangani masalah kenaikan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Katanya, dengan jualan secara terus ke pengguna melalui rangkaian Fama, ia dapat meningkatkan pengedaran bekalan melalui pengukuhan prasarana pemasaran dan meningkatkan bekalan.
Menurutnya, Fama juga menyediakan stok bekalan ayam yang secukupnya untuk keperluan musim perayaan dan juga sayur-sayu-ran lain seperti tomato, cili merah, kubis bulat, timun hijau, bawang merah dan kelapa.