GERGASI Merah Kuning terpaksa berputih mata apabila misi pasukan itu untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 lebur di hadapan ribuan penyokong Terengganu, malam tadi.
Dalam pertarungan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu menundukkan Selangor 2-1 dengan kelebihan agregat 4-1.
Pada perlawanan separuh akhir pertama Selasa lalu, juara Piala Malaysia 32 kali itu kecundang 0-2 di laman sendiri.
Dengan kelebihan beraksi di gelanggan sendiri, serangan Terengganu telah menerjah ke gawang lawan seawal minit pertama, namun diselamatkan penjaga gol G. Jeevanathan.
Skuad bimbingan P. Maniam sebelum itu berjaya membolosi kawalan Mohd. Sharbinee Allawee, namun rembatan Rudie Ramli pada minit ke-11 tidak dikira kerana pemain Selangor itu berada pada kedudukan 'off-side'.
Minit ke-19, jaringan menerusi Abdul Manaf Mamat yang menyudahkan hantaran Mohd. Ashaari Samsudin ternyata mengamatkan stadium.
Dengan asakan berganda pasukan tuan rumah, Selangor bagaikan tenggelam dalam sorokan penyokong hitam putih apabila gol kedua Terengganu pada minit ke-72 dijaringkan Mohd. Ashaari yang merembat kencang dari luar petak penalti.
Babak kedua permainan menyaksikan Selangor ghairah untuk memburu gol, namun setiap percubaan yang dilakukan tidak berhasil.
Selangor semakin tertekan selepas pemainnya, Mohd. Asraruddin Putra Omar dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd. Yusof Mat Karim pada minit ke-75 setelah mengasari Mohd. Ashaari.
Tidak pulang dengan tangan kosong, gol saguhati Selangor hadir pada minit-87 hasil tandukan Safiq Rahim.
Terengganu yang kali terakhir merangkul piala berprestij itu pada 2001 bakal bertemu Negeri Sembilan pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu depan.
Naib juara Piala Malaysia tahun lalu itu berjaya menundukkan pasukan bertaraf kelab dari Terengganu, T-Team 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan kelebihan agregat 6-3.