Halaman

27 October 2011

Kanun Tanah Negara dipinda

Oleh; Esah Abdullah

Hampir 75 peratus Kanun Tanah Negara (KTN) akan dipinda, bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan pembangunan tanah, kata Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Dato’ Haji Azemi Kasim.

Katanya, perkara berkenaan akan dibentang ke Mesyuarat Parlimen oleh menteri berkaitan di mana jabatan menyediakan laporan yang diputuskan dalam mesyuarat di peringkat jabatan.

“Pengurusan pentadbiran tanah kini berhadapan dengan pelbagai cabaran besar dalam menangani perubahan persekitaran yang memberi kesan langsung kepada ekspektif rakyat,” katanya ketika berucap di seminar Pentadbiran Tanah Gerbang Tranformasi Ekonomi Negara di Primula Beach Resort hari ini.

Tiga kertas kerja dengan tiga orang pembentang berganding kepakaran memberi pendedahan mengenai isu-isu transformasi dan pembaharuan undang-undang dalam pentadbiran tanah.

Seramai 300 peserta yang terlibat secara langsung dengan proses pembangunan hartanah, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, koperasi, swasta dan pelajar terbabit menyertai seminar sehari itu.

Kertas kerja (1), Semakan Semula Kanun Tanah Negara (KTN) 2010: Transformasi Sistem Penyampaian Pentadbiran Tanah dari Perspektif Pembaharuan Undang-undang oleh Pengarah Seksyen Kajian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTGP), Encik Mohd Shukri Ismail.

Diikuti Isu dan Masalah Semasa oleh Pengarah Seksyen Hakmilik Strata JKPTGP, Encik Ahmad Rajiun Abu Bakar dan Penglibatan Sektor Koperasi dan Swasta Dalam Pembangunan Tanah Negara oleh mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Dato’ Haji Yidris Abdullah.

Dato’ Haji Azemi memuji langkah kerajaan negeri mengadakan seminar penting ini dan berharap negeri-negeri lain dapat berbuat perkara yang sama untuk kelancaran sistem pembangunan dan pengurusan tanah di negara ini.

Selesai seminar, peserta yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah, Johor, Selangor, Perak dibawa meninjau ke beberapa tempat menarik di negeri ini termasuk Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Muzium Negeri, di Losong, Noor Arfa Batik di Kawasan Perindustrian Chendering dan Pasar Payang, di Kuala Terengganu.